KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kesemua keluarga kepada 54 mangsa tragedi banjir Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu akan menerima bantuan wang sekali beri RM10,000 menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata bantuan itu diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
"Kami telah berbincang panjang di Kabinet dan Perdana Menteri telah putuskan pembayaran sekali beri RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir tetapi mereka perlu ikut seperti yang disenaraikan di bawah NADMA.
"Maksudnya ada giliran. Contoh, untuk isteri atau suami (keutamaan) pertama, kedua untuk ibu bapa, ketiga untuk anak-anak, kami akan keluarkan (senarai)," katanya kepada pemberita selepas melawat Karnival Deepavali Ke-24 Tahun 2026 di Stadium Bukit Jalil di sini hari ini.
Ramanan berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) K Raveendran Nair untuk mendapatkan butiran terperinci daripada Kementerian Kewangan serta menghubungi waris mangsa dalam masa terdekat.
Bencana banjir dan aliran puing yang dicetuskan oleh runtuhan ais glasier dan batuan di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet, setakat ini meragut 1,451 nyawa.
Kira-kira 5,700 individu termasuk lebih 600 warga asing masih dilaporkan hilang.










