PRN Melaka: Penyertaan ramai calon wanita cerminan keterbukaan parti politik

6 Nov 2026, 4:16 AM
PRN Melaka: Penyertaan ramai calon wanita cerminan keterbukaan parti politik

MELAKA, 6 NOV: Penyertaan ramai wanita sebagai calon mewakili beberapa parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 memperlihatkan keterbukaan parti dalam memberi ruang kepada golongan itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan politik.

Peluang yang diberikan juga membuktikan kepimpinan parti kini tidak lagi melihat keupayaan seseorang calon mereka berdasarkan jantina semata-mata sebaliknya melalui kewibawaan dan kemampuan membawa perubahan kepada masyarakat.

Pada PRN Melaka ke-16 ini, Pakatan Harapan (HARAPAN) mempertaruhkan paling ramai calon wanita iaitu enam orang diikuti Barisan Nasional (BN) (empat), Parti Bersama Malaysia (Bersama) (dua) serta masing-masing seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Dr Shafezah Abdul Wahab berkata berlaku peningkatan peratusan calon wanita pada PRN Melaka kali ini kepada 17.7 peratus berbanding kira-kira 14 peratus pada PRN Melaka ke-15.

Beliau berkata trend berkenaan adalah positif namun dilihat perlahan apabila kebanyakan parti bertanding sekadar memenuhi "syarat cukup" kecuali bagi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang melengkapkan penyertaan 33.3 peratus calon wanita pada pilihan raya kali ini.

"Jika kita tengok landskap politik sekarang, amalan tokenisme atau meletak calon wanita sekadar hendak cukupkan syarat ini sudah semakin berkurang. Parti-parti politik sekarang nampaknya sudah mula nampak merit dan kredibiliti yang ada pada pemimpin wanita.

"Sebab itu kita boleh nampak mereka berani pertaruhkan calon wanita di kerusi-kerusi panas seperti Machap Jaya, Kelebang dan Rim, dan bukan sekadar meletakkan mereka bertanding di kawasan yang tidak memberikan kemenangan kepada calon wanita ini," katanya kepada Bernama.

Shafezah berkata cabaran utama terhadap calon wanita berpunca daripada sokongan dalam struktur parti yang didominasi kaum lelaki, faktor dana kempen dan tanggapan masyarakat terutama di kawasan luar bandar yang masih berfikiran konservatif.

Bagaimanapun katanya melihat kepada realiti politik di Melaka ketika ini, kebanyakan pengundi tidak lagi melihat faktor jantina untuk memilih wakil rakyat mereka namun lebih menilai kebolehcapaian dan rekod khidmat seseorang calon.

"Hal ini sebenarnya memberi kelebihan kepada calon wanita untuk menjuarai isu-isu dekat di hati rakyat seperti kos sara hidup dan kebajikan keluarga, sekali gus menjadikan pendekatan mereka lebih mudah diterima oleh masyarakat akar umbi.

"Peningkatan kemenangan calon wanita akan mendesak pembentukan Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri yang lebih inklusif, sekali gus memecah monopoli portfolio tradisional dan tidak hanya terhad kepada portfolio kebajikan dan wanita sahaja,” katanya.

Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Junainah Sahat, 41, berkata wanita memiliki kebolehan, kreativiti serta kekuatan tersendiri yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan pentadbiran, sekali gus membuktikan golongan itu juga berupaya memikul tanggungjawab kepimpinan.

"Apabila kita memimpin atau bekerja, kita perlu dinilai berdasarkan kemajuan dan kejayaan yang dibawa, bukan melalui jantina. Wanita mempunyai idea yang sama seperti lelaki, malah setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri," katanya kepada Bernama.

Mesra disapa Ajue, Junainah yang sebelum ini memberi tumpuan pada bidang keusahawanan berkata penglibatannya untuk membina tapak kukuh dalam politik mendapat sokongan daripada keluarga, terutama suaminya, Hafiz Omar, 45.

Ibu kepada enam anak berusia tujuh hingga 16 tahun itu berkata penglibatan wanita dalam politik turut menuntut pelbagai cabaran terutama dalam mengimbangi tanggungjawab pada keluarga dan komitmen kepada masyarakat.

Bagaimanapun beliau berkata wanita perlu bijak menguruskan masa dan menyusun tanggungjawab agar penglibatan dalam politik tidak menyebabkan amanah terhadap keluarga terabai.

"Sebagai contoh, sepanjang tempoh berkempen tentunya jadual agak padat namun saya akan memastikan urusan anak-anak khususnya pendidikan dan keselamatan mereka tidak terabai sebaliknya berada dalam pengawasan orang yang saya percaya," katanya.

Calon HARAPAN kerusi DUN Kelebang Farzana Hayani Mohd Nasir, 26, berkata penyertaan wanita sebagai calon dalam PRN Melaka ke-16 bukan sekadar membuka ruang kepada golongan itu dalam arena politik, malah menjadi peluang untuk membawa isu kebajikan dan ekonomi kaum hawa ke peringkat pembuat keputusan.

Beliau berkata antara perkara yang menjadi perhatiannya ialah cabaran dihadapi golongan wanita, khususnya suri rumah yang menguruskan keluarga besar serta berdepan kekangan kewangan seperti kes sebuah keluarga yang diziarahinya baru-baru ini.

“Macam kita baru-baru ini ada ziarah seorang suri rumah, dia menjaga lapan anak dan suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan sahaja. Jadi kita nak fikir macam mana boleh tambahkan pendapatan isi rumah dia,” katanya.

Lebih dikenali sebagai Nana, Farzana Hayani berkata sebagai satu-satunya calon wanita daripada empat calon yang bertanding di DUN Kelebang, beliau turut mahu memberi perhatian kepada keperluan wanita muda, termasuk mereka yang menjadi suri rumah dan mempunyai tanggungjawab menjaga keluarga.

Beliau berkata golongan wanita muda juga berdepan pelbagai cabaran, terutama mereka yang tinggal berjauhan daripada keluarga atau perlu menggalas tanggungjawab menjaga ahli keluarga.

Selain isu wanita, Farzana Haryani berkata perhatian turut diberikan kepada golongan belia, nelayan dan pesawah, dengan pendekatan turun padang bagi memahami sendiri permasalahan masyarakat sebelum mencari penyelesaian bersama agensi berkaitan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 November.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.