MELAKA, 3 NOV: Calon muda yang ditampilkan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 perlu diberi peluang untuk menambah pengalaman kepimpinan, selain membuktikan kemampuan untuk mendapat kepercayaan pengundi daripada pelbagai peringkat umur.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Melaka Adam Adli Abd Halim berkata pemilihan calon muda bukan sekadar berdasarkan kedudukan dalam parti, tetapi juga mengambil kira perwakilan daripada pelbagai demografi masyarakat dalam kalangan pengundi, termasuk aspek kaum, jantina dan umur.
“Calon muda juga perlu dinilai secara adil, mengambil kira sebahagian daripada mereka kali pertama bertanding, dan mungkin mempunyai pengalaman serta pendekatan komunikasi yang berbeza berbanding calon lebih berusia.
“Kalau tidak kita mulakan sekarang, maka kita tidak mampu untuk membangunkan pengalaman yang lebih lengkap bagi golongan ini. Dalam lima atau 10 tahun akan datang, kita harapkan mereka boleh mengumpul pengalaman bermula dari sekarang,” katanya pada sidang media harian dan pelancaran manifesto “Aspirasi Melaka Rumah Kita” di Bilik Gerakan Utama HARAPAN di Bukit Piatu, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari dan Timbalan Pengerusi HARAPAN Melaka Khoo Poay Tiong.
Adam Adli berkata golongan muda sering diberi peranan menggerakkan kempen pilihan raya, termasuk memasang bendera, mengedar risalah dan menyertai aktiviti kempen, justeru mereka juga wajar diberi peluang untuk diketengahkan sebagai calon.
Beliau berkata kehadiran calon muda tidak bermakna mereka secara automatik mendapat sokongan pengundi muda kerana kecenderungan politik golongan itu turut dipengaruhi keluarga, rakan sebaya, media sosial, dan pandangan masyarakat.
“Calon muda perlu berupaya meyakinkan bukan sahaja pengundi dalam kelompok usia mereka tetapi juga generasi lebih berusia bagi mendapatkan sokongan masyarakat secara keseluruhan.
Sementara itu, Adly berkata faktor usia bukan ukuran utama kemampuan seseorang calon, sebaliknya keupayaan memahami isu setempat dan menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat juga perlu diambil kira .
“Walaupun calon muda, tetapi saya fikir peranan dan matlamat mereka sama, iaitu untuk melihat bagaimana kita boleh membantu rakyat menyelesaikan masalah atau isu yang berbangkit,” katanya.
Pengundian awal PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada 10 November, manakala hari pengundian pada 14 November ini.






