KLANG, 6 NOV: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengetengahkan potensi pelaburan Bandar Diraja Klang serta komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penyertaan dalam persidangan UCLG ASPAC Council, Haikou 2026 di Hainan, China.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, kedudukan strategik Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk maritim utama Malaysia menawarkan potensi besar dalam sektor perkapalan, logistik, pengendalian kontena, perindustrian dan perdagangan antarabangsa.
Perkara itu diketengahkan menerusi pembentangan beliau bertajuk Klang Royal City: Balancing Port Growth with a Green, Smart and Inclusive Future dalam forum utama persidangan berkenaan.
Menurutnya, pembangunan bandar perlu dirancang secara seimbang dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi, kemajuan industri, pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata, MBDK berpandukan Pelan Tempatan Bandar Diraja Klang 2035 (Pindaan 1) yang mengambil kira perkembangan sektor perindustrian, termasuk kewujudan lebih 36 kawasan perindustrian sedia ada serta kawasan baharu yang sedang dibangunkan.
"Pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat bagi memastikan Bandaraya Diraja Klang kekal berdaya saing dan selesa didiami.
"Pendekatan pembangunan yang seimbang ini penting bagi memastikan kemajuan ekonomi dapat dinikmati penduduk tanpa mengabaikan aspek kelestarian untuk generasi akan datang," katanya dalam kenyataan.
Dalam aspek kelestarian, Abd Hamid berkata MBDK memberi keutamaan kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon, program pembersihan sungai serta penglibatan aktif komuniti.
Usaha itu turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dan pengukuhan tadbir urus melalui pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).
Penyertaan dalam persidangan antarabangsa itu bukan sahaja membuka ruang untuk memperkenalkan potensi ekonomi dan pelaburan Klang kepada komuniti global, malah menjadi platform perkongsian pengalaman serta amalan terbaik dalam pembangunan bandar mampan.
MBDK komited meneruskan usaha memperkukuh perancangan bandar, meningkatkan mutu perkhidmatan perbandaran serta memacu pembangunan pintar dan inklusif demi manfaat penduduk dan generasi akan datang.







