KANGAR, 4 NOV: Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer tidak perlu diadakan susulan kematian penyandangnya Wan Badariah Wan Saad pada Sabtu lepas, memandangkan penggal DUN Perlis telah melepasi tempoh mandat tiga tahun.
Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan berkata Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis ke-15 telah berlangsung pada 19 Dis 2022, sekali gus tempoh tiga tahun penggal berkenaan terakru (genap) pada 18 Dis tahun lepas.
Selain itu, beliau berkata kekosongan luar jangka itu sama sekali tidak menjejaskan kedudukan parti yang membentuk majoriti dalam kerajaan negeri ketika ini.
“Sekarang ADUN Perlis terdapat 11 orang terdiri daripada lima PAS, lima Bersatu dan seorang Pakatan Harapan (PH) daripada PKR. Setakat ini, kerajaan negeri masih di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang ada PAS dan Bersatu.
“Malah setakat ini juga tiada mana-mana ADUN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah. Sehubungan dengan itu, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa di bawah kepimpinan menteri besar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam perkembangan sama, Rus’sele memaklumkan pihaknya telah menyerahkan pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka kerusi berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perlis hari ini.
Wan Badariah, 50, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada 4.26 petang, Sabtu lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Wan Badariah daripada PAS yang bertanding atas tiket PN memperoleh 4,419 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Siti Berenee Yahaya (2,398 undi) dan Amran Kamarudin daripada PH (794 undi) dengan majoriti 2,021 undi.
Allahyarham pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis di bawah pentadbiran Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
-- BERNAMA






