MB: Status ADN didakwa hilang kelayakan dalam semakan

31 Jul 2026, 2:36 AM
MB: Status ADN didakwa hilang kelayakan dalam semakan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Status seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) yang didakwa hilang kelayakan kini dalam semakan Kerajaan Negeri dan dijangka dibawa pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) Isnin depan (3 Ogos).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sudah menerima maklumat awal berhubung perkara itu dan akan mendapatkan pandangan penasihat undang-undang sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan termasuk keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Kita ada dapat sedikit maklumat mengenainya. Saya sedang menyemak dengan penasihat undang-undang dan kemungkinan Speaker akan memaklumkan perkara itu dalam DNS pada Isnin ini.

"Kita perlu membuat pengesahan terhadap dakwaan berkenaan ataupun dakwaan mengenai keguguran atau kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Negeri di Selangor," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata sekiranya semakan mendapati wujud keperluan dari sudut perundangan untuk PRK diadakan, perkara itu akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti wakil rakyat terbabit mahupun memperincikan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, timbul dakwaan Selangor mungkin berdepan PRK susulan seorang wakil rakyatnya didakwa hilang kelayakan dan boleh menyebabkan kekosongan kerusi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.