KUALA LUMPUR, 3 NOV: Selangor dan Pahang merancang membangunkan konsep ladang kembar yang menghubungkan Selangor Fruit Valley (SFV) dengan kawasan agropelancongan baharu di Cameron Highlands bagi menarik lebih ramai pelancong serta berkongsi kepakaran pertanian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata projek itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 40 hektar di Cameron Highlands dan keluasan sama di SFV.
Menurutnya, kedua-dua kawasan akan dibangunkan dan diuruskan secara bersama oleh PKPS dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).
“Kita mahu membawa program yang dilaksanakan di Selangor Fruit Valley ke kawasan tanah tinggi.
“Dengan cuaca lebih sejuk dan suhu rendah, saya percaya usaha ini mampu merancakkan ekonomi, khususnya sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKPS dan PKPP di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamad Khairil berkata kerjasama kedua-dua negeri turut merangkumi penanaman padi, Program Pertanian Komuniti Shahzan Makmur dan tanaman jagung bijirin.
Menurutnya, kepakaran Selangor dalam meningkatkan hasil padi terbukti menerusi projek seluas 120 hektar di Pahang yang berjaya meningkatkan pengeluaran daripada 3.2 tan metrik kepada 7.2 tan metrik sehektar.
Katanya, kejayaan itu dicapai melalui penggunaan teknik pertanian moden yang boleh diperluas ke kawasan lain dengan menjadikan kaedah penanaman padi di Sekinchan sebagai contoh.
Selain itu, Program Pertanian Komuniti Shahzan Makmur akan membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan melalui aktiviti pertanian.
Bagi tanaman jagung bijirin pula, kira-kira 400 hektar tanah dikenal pasti di Pahang untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran makanan ternakan.
“Projek jagung bijirin ini dijangka membantu mengurangkan kos makanan ternakan, memperkukuh bekalan makanan negara dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Pekerja yang terlibat akan menerima gaji mengikut ketetapan gaji minimum Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Mohamad Khairil berkata PKPS dan PKPP kini sedang memperincikan kaedah pelaksanaan serta pengurusan projek, dengan penanaman jagung bijirin dijangka bermula pada Februari atau Mac tahun depan.
Beliau berkata kerjasama itu membolehkan Selangor berkongsi teknologi pertanian, produk dan kepakaran pengurusan dengan Pahang, sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran makanan tempatan serta membuka peluang ekonomi kepada rakyat kedua-dua negeri.
“Nilai kerjasama ini bukan sekadar apa yang Selangor peroleh, tetapi manfaat yang dapat kita hasilkan dan bawa kepada kedua-dua negeri, Selangor dan Pahang,” katanya.







