KUALA SELANGOR, 15 JULAI: Projek ternakan ayam di Selangor Fruit Valley (SFV) menghasilkan kira-kira 750,000 ekor ayam bagi setiap pusingan sebagai usaha menyokong agenda keterjaminan makanan Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, projek berkenaan melibatkan 21 reban ayam yang beroperasi di kawasan itu.
Menurut beliau, setiap pusingan pengeluaran mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum ayam sedia dipasarkan.
"Setiap pusingan, bukan setiap bulan. Satu pusingan mengambil masa kira-kira dua bulan dan itu pengeluaran yang kita hasilkan," katanya pada sidang media selepas program Fam Trip @ Selangor Fruit Valley, di sini semalam.
Beliau berkata, PKPS turut membangunkan projek ternakan lembu dan kambing bagi melengkapkan agenda keterjaminan makanan yang dilaksanakan di bawah Gudang Makanan Selangor.
Dr Mohamad Khairil berkata, Kerajaan Negeri memberi mandat kepada PKPS untuk menyediakan Gudang Makanan Selangor sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang gangguan bekalan makanan.
"Kerajaan negeri telah memberi mandat kepada kita untuk menyediakan Gudang Makanan Selangor. Jika terjadi apa-apa, bencana atau perkara yang tidak diingini, rakyat Selangor ada masa persediaan untuk tiga bulan," katanya.
Beliau berkata, SFV menjadi antara lokasi penting dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan menerusi pembangunan sektor pertanian dan penternakan yang dilaksanakan secara bersepadu di bawah pengurusan PKPS.
Sementara itu, Fam Trip @ Selangor Fruit Valley menghimpunkan pengamal media, pencipta kandungan dan pempengaruh bagi memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman agropelancongan menerusi pelbagai aktiviti termasuk lawatan sekitar kawasan, permainan serta menikmati buah-buahan tempatan seperti durian, nangchem dan jambu batu.







