SHAH ALAM, 3 NOV: Pengambilan pelajar baharu bagi mengikuti pengajian bersijil sesi 2027 di Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) kini dibuka sehingga 30 November.
Pengurus ALAS Abu Dzar Adanan berkata peluang itu terbuka kepada orang ramai yang berminat mendalami ilmu al-Quran dan pengajian Islam secara lebih tersusun menerusi bimbingan tenaga pengajar bertauliah.
Menurutnya, antara pengajian ditawarkan ialah Talaqqi Al-Quran (Asas dan Menengah), Asas Pengajian Islam, Asas Tarannum Al-Quran Mujawwad, Asas Bahasa Arab dan Tafsir Tematik, selain Iqra' dan Al-Quran untuk Kanak-Kanak.
“Kuota pengambilan bergantung kepada bilangan pendaftaran pelajar semasa dan sesi pengajian akan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan lima daerah lain iaitu Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Sepang dan Gombak,” katanya kepada Media Selangor.
Berdasarkan hebahan di laman Facebook Akademi Literasi Al-Quran Selangor, program Pengajian Bersijil itu berlangsung selama setahun dengan pelajar akan mengikuti dua kali peperiksaan sepanjang tempoh pengajian bagi menilai tahap penguasaan masing-masing.
Selain memperkukuh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengajian yang dipilih, peserta juga berpeluang memperoleh sijil selepas menamatkan pengajian.
Yuran pengajian yang ditawarkan adalah bermula RM550 bergantung kepada program yang dipilih manakala bagi kelas iqra’ dan al-Quran kanak-kanak adalah RM50 sebulan.
Bagi proses kemasukan, semakan temu duga dijadualkan pada 1 Disember ini, manakala sesi temu duga akan berlangsung pada 5 Disember bermula jam 8.30 pagi.
Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://asis.awfatech.com/main/appsps/stureg/stureg_status.php?sysapp=asis0116 dan sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-5523 8006 atau emel alqmssaassa@gmail.com.
Sebelum ini, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merangkap Setiausaha Jawatankuasa Literasi al-Quran Negeri Selangor berkata ALAS terus mencatat perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pelajarnya meningkat daripada 463 pada 2022 kepada lebih 1,800 orang setakat September lalu.
Dato’ Muhammad Farhan Wijaya berkata program pengajian al-Quran yang bermula di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu kini diperluas ke lima daerah, iaitu Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Sepang dan Gombak, dengan pembukaan cawangan di Hulu Langat dijangka menyusul tahun ini.
Sejak dilancarkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri pada 2022, ALAS terus berkembang selari hasrat Baginda mengimarahkan Masjid Negeri sebagai hab al-Quran Selangor.







