PRN Melaka: KEADILAN sedia tampil lebih ramai muka baharu, wanita dan anak muda

30 Ogos 2026, 2:28 AM
PRN Melaka: KEADILAN sedia tampil lebih ramai muka baharu, wanita dan anak muda

SHAH ALAM, 30 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersedia mengetengahkan lebih ramai muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, termasuk calon daripada golongan wanita dan anak muda.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka Adam Adli Abdul Halim berkata proses pemilihan calon sudah dilaksanakan dan kini memasuki peringkat saringan sebelum dikemukakan untuk pertimbangan serta keputusan akhir.

Katanya, Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPP) KEADILAN akan membuat penilaian berdasarkan beberapa pertimbangan sebelum senarai calon dimuktamadkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Proses berkenaan memerlukan masa panjang, justeru parti mengambil pendekatan membuat persediaan lebih awal dan tidak menunggu sehingga saat akhir sebelum mengumumkan calon.

“Kali ini kita sudah pastikan persediaan boleh dibuat lebih awal kerana banyak juga muka baharu yang cuba kita ketengahkan. Kita mahu memastikan ada keseimbangan suara antara wanita dan golongan muda.

“Dengan faktor-faktor itu, kita perlu menyediakan calon lebih awal. Kalau tidak, mereka akan berada dalam sedikit keadaan ‘disadvantage’ (kurang kelebihan) berbanding orang lain,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran Jentera PRN Cabang Hang Tuah Jaya di Bukit Piatu, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata perbincangan mengenai kerjasama politik antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka sememangnya wujud, namun rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi masih belum dimulakan.

Katanya, beberapa pemimpin dalam HARAPAN sudah mengadakan perbincangan sejak beberapa bulan lalu, namun perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk rundingan selanjutnya.

“Rundingan belum dimulakan dan ia akan dilaksanakan oleh Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Datuk Seri Amiruddin Shari bersama pemangku Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sedikit masa lagi,” katanya.

Mengulas pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen HARAPAN, Adam Adli berkata perkara itu sudah diselesaikan pada peringkat dalaman sebagai persediaan menghadapi PRN, namun masih boleh berubah sekiranya kerjasama dengan BN dimuktamadkan.

“Pembahagian kerusi dalam kalangan HARAPAN selesai, tetapi secara prinsipnya itu hanyalah persediaan.

“Kalau berlaku gabungan yang lebih luas atau lebih besar (bekerjasama dengan BN), itu mungkin ada perubahan. Jadi, tiada apa yang diputuskan secara muktamad,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.