MELAKA, 30 OKT: Pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan dengan Parti Bersatu serta Ahli Parlimen Bebas semalam tidak mengikat pendirian mahupun keputusan politik mana-mana pihak termasuk dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Melaka Adam Adli Abd Halim berkata semua pihak yang terlibat di dalam perjanjian itu kekal bebas berdiri atas pendirian masing-masing, terutamanya memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam Dewan Rakyat sebagai pembangkang.
“Persetujuan ini sebenarnya satu langkah untuk mengukuhkan pentadbiran dan membolehkan kerajaan beri tumpuan terhadap pelaksanaan dasar-dasar serta pembangunan negara.
“Hal ini bertepatan dengan semangat Kerajaan MADANI yang sentiasa membuka ruang kerjasama terutama jika melibatkan kepentingan rakyat melangkaui sebarang perbezaan parti,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (HARAPAN) di Bukit Piatu di sini hari ini.
Semalam, Kerajaan MADANI menandatangani CSA dengan enam anggota Parlimen Bersatu yang diketuai Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh yang lain termasuk anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Adam Adli berkata PH juga pernah menandatangani perjanjian seumpama CSA sewaktu berada di dalam blok pembangkang di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ditanya mengenai impak perjanjian itu kepada kerjasama HARAPAN dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka, yang dijangka menyaksikan kedua-dua pihak bakal bertembung di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Adam Adli berkata gabungan itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan perkara berkenaan.
“Di Melaka ini setiap parti bebas berpegang pada prinsip masing-masing, keputusan masing-masing dan kita hormati itu. Apa yang penting ialah kita menunjukkan kematangan politik dengan menjadikan agenda rakyat itu kepentingan utama,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan calon HARAPAN dan Bersatu berkemungkinan akan bersaing antara satu sama lain di DUN Ayer Keroh, Kelebang, Gadek dan Pengkalan Batu.
Pada sidang media sama, Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata parti itu kekal bertanding di tujuh kawasan DUN biarpun terdapat pertambahan kerusi ditandingi rakan gabungan di dalam HARAPAN.
Semalam Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Dr Fuziah Salleh berkata Mej (B) Jaimi Dimon akan mewakili parti itu bertanding di DUN Ayer Limau, sekali gus menjadikan 10 kerusi ditandingi PKR berbanding sembilan yang diumumkan sebelum ini.
Parti Amanah Negara (Amanah) turut menambah dua lagi calon iaitu Aminuddin Abdul Jalil di DUN Sungai Rambai manakala Junainah Sahat di DUN Taboh Naning, sekali gus menyaksikan HARAPAN bertanding di keseluruhan 24 kerusi pada PRN Melaka 14 November ini.







