SHAH ALAM, 18 MAC: Cahaya lampu berwarna-warni yang menghiasi Kampung Melayu Subang bukan sekadar hiasan, sebaliknya menjadi simbol kebersamaan penduduk dalam memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Tradisi memasang pelita yang sekian lama diamalkan setiap Ramadan kini diberi nafas baharu menerusi program Lip Lap Raya, apabila penduduk bergotong-royong menghias lorong dengan pelbagai lampu bagi menceriakan suasana kampung.
Penduduk kampung, Shaliza Abdul Aziz, 55, meluahkan rasa gembira kerana tradisi menghias kampung masih dikekalkan sejak beliau kecil.
“Saya berasa gembira dan bangga kerana tradisi menghias kampung ini sudah diamalkan sejak kami kecil lagi, apabila setiap kali menjelang Aidilfitri kami akan memasang pelita,” katanya kepada Media Selangor.

Kakaknya, Shariza Abdul Aziz, 58, berkata persiapan bermula sejak awal Ramadan apabila penduduk berbincang serta mula mengumpul bahan untuk menghias lorong mereka.
“Setiap tahun memang penduduk Lorong 3486 dan 3487 akan bergabung pasang pelita, tahun ini selepas perbincangan semua setuju untuk pasang lampu.
“Sebelum ini cuma pasang pelita namun tetap jadi tumpuan orang kampung. Dengan adanya pemasangan lampu tahun ini, suasana lebih meriah,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.
Gotong-royong hidupkan suasana kampung
Seorang lagi penduduk, Khairul Fahmi Senian, 37, berkata persiapan sejak awal Ramadan berjaya disiapkan hasil kerjasama penduduk yang mengumpul dana serta tenaga kerja.
“Kos perbelanjaan tertumpu pada pembelian lampu kerana kebanyakan bahan lain menggunakan barangan sedia ada di sekitar rumah seperti buluh dan paip yang tidak digunakan lagi,” katanya.

Syahidatul Hani Samsijan, 30, pula berkata idea menghias lorong dengan lampu yang dicetuskan bersama jiran mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk setempat.
“Kemeriahan lorong ini menarik penduduk kampung untuk datang melihat sendiri hiasan lampu itu, malah merakam video dan berkongsi di media sosial.
“Kami juga menggalakkan penduduk kawasan lain untuk melakukan hiasan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan Aidilfitri,” katanya.
Pertandingan eratkan silaturahim komuniti
Dalam pada itu, penduduk berharap pertandingan seperti ini dapat diteruskan bagi merapatkan lagi silaturahim sesama jiran tetangga.
“Kita harap dapat perbanyakkan lampu dan meriahkan lagi Lorong 3486 dan 3487,” kata Faizrul Mohammaed, 34, yang bekerja sebagai pengurus produksi.
“Kalau menang, kami bercadang untuk mengadakan majlis keramaian atau rumah terbuka sempena Aidilfitri,” kata Fara Fazreen, 31, yang juga eksekutif pemasaran.

Inisiatif MBSA perkukuh komuniti
Tahun ini merupakan tahun ketiga pertandingan hiasan lampu anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama komuniti Shah Alam.
Timbalan Setiausaha Pengurusan MBSA, Shahrin Ahmad berkata penganjuran pertandingan tersebut bertujuan mengeratkan silaturahim antara pihak MBSA sebagai pentadbir bandar raya dan penduduk.
"Program ini membantu membentuk komuniti yang lebih bersatu padu melalui penglibatan aktif penduduk dalam merancang dan melaksanakan hiasan," katanya ketika ditemu bual selepas sesi penjurian minggu lalu.
"Kita mahu penduduk duduk berbincang bersama dan dengan keluasan kawasan pentadbiran MBSA, program seperti ini diharapkan dapat mendekatkan lagi pihak MBSA dengan komuniti setempat," katanya.
Sebanyak 21 penyertaan diterima daripada komuniti di seluruh kawasan pentadbiran MBSA dengan kerjasama ahli majlis yang membantu mempromosikan program tersebut.

MBSA turut menyediakan insentif sebanyak RM500 sebagai permulaan untuk membeli barangan hiasan serta menggalakkan lebih banyak penyertaan pada masa hadapan.
Pemenang akan dipilih berdasarkan aspek kreativiti hiasan dan penggunaan komponen kitar semula.
MBSA berharap lebih banyak komuniti menyertai program ini bagi mengeratkan hubungan penduduk serta memastikan bandar raya kekal harmoni dan selamat.









