SHAH ALAM, 2 NOV: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat berada pada tahap kesiapsiagaan 100 peratus bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Mohd Jusni Hashim berkata penyelarasan antara agensi berkaitan sedang diperkukuh bagi memastikan setiap pihak bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing, termasuk dalam aspek pengurusan bencana dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas.

“Menjelang hujung tahun memang kita jangka ada banjir besar di Hulu Langat. Di peringkat daerah kita sedang adakan mesyuarat penyelarasan untuk pastikan setiap agensi berfungsi dengan tindakan terbaik.
“Persediaan kita sekarang pada tahap 100 peratus bersedia. Insya-Allah masing-masing faham peranan masing-masing dan akan ditambah baik dari masa ke semasa,” katanya kepada Media Selangor.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan MTL bermula pada 27 Oktober lalu dan berterusan sehingga Mac 2027, dengan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sepanjang fasa awal monsun berkenaan.
Dalam usaha mengurangkan risiko banjir dalam jangka panjang, Mohd Jusni berkata, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 kini berada dalam proses pemilihan tender dan dijangka mengambil masa lima tahun untuk disiapkan secara berperingkat.
“Projek tebatan banjir di Hulu Langat yang bernilai lebih RM500 juta, sekarang dalam proses tender. Projek ini dijangka siap dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Projek berkenaan merupakan antara usaha kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur tebatan banjir serta meningkatkan tahap keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
Pada Februari lalu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilaporkan berkata, proses reka bentuk projek RTB Sungai Langat Fasa 2 dijadual dimuktamadkan pada September.
Beliau berkata, projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Kelima (RP5) 2025 ketika ini berada dalam fasa penyediaan reka bentuk terperinci, dengan kemajuan reka bentuk pada peringkat konsep setakat Januari lalu.
Menurutnya, perunding telah dilantik pada 9 Mei tahun lalu, dengan tempoh perkhidmatan bermula 19 Mei 2025 hingga 19 Ogos 2032 bagi melaksanakan penyediaan reka bentuk serta penyeliaan pelaksanaan projek.
RTB Sungai Langat Fasa 2, Pakej 1 merangkumi kerja baik pulih dan naik taraf Sungai Langat dari Kampung Sungai Lui hingga Taman Sri Nanding, dengan peruntukan sebanyak RM512 juta.








