Juruterbang Malaysia Airlines negatif saringan dadah, ujian kru kabin mula esok

17 Ogos 2026, 6:09 AM
Juruterbang Malaysia Airlines negatif saringan dadah, ujian kru kabin mula esok
Juruterbang Malaysia Airlines negatif saringan dadah, ujian kru kabin mula esok
Juruterbang Malaysia Airlines negatif saringan dadah, ujian kru kabin mula esok

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Malaysia Aviation Group (MAG) selesai melaksanakan saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang aktif Malaysia Airlines dengan keseluruhan keputusan ujian didapati negatif.

Saringan itu diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan pada 15 Ogos lalu sebagai sebahagian langkah memperkukuh aspek keselamatan dan kecergasan untuk bertugas dalam operasi kumpulan berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A Bakar berkata penyelesaian fasa pertama itu menjadi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh langkah keselamatan di seluruh syarikat penerbangan.

“Penyelesaian fasa pertama ini adalah pencapaian penting dalam langkah komited untuk dilaksanakan dan ia tidak terhenti di sini.

“Kami kini meneruskan saringan terhadap kumpulan operasi lain bagi memastikan piawaian ketat yang sama dilaksanakan secara konsisten di seluruh syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Menurut Nasaruddin, keselamatan kekal menjadi teras kepada setiap keputusan MAG dan pihaknya akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memperkukuh perlindungan, mengekalkan piawaian operasi serta keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan.

Susulan penyelesaian saringan juruterbang Malaysia Airlines, MAG akan meneruskan fasa seterusnya membabitkan 2,840 kru kabin bermula esok secara berperingkat dengan sasaran selesai pada 3 September.

Pada masa sama, saringan terhadap juruterbang dan kru kabin Firefly turut dilaksanakan dengan lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 kru kabinnya sudah menjalani ujian setakat 15 Ogos lalu, dengan semua keputusan didapati negatif.

Firefly dijangka menyelesaikan saringan terhadap baki juruterbang dan kru kabin pada 25 Ogos, lebih awal berbanding tarikh akhir 5 September yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

MAG turut akan mengekalkan program ujian rawak secara berterusan selain memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa sebagai usaha mencegah dan membanteras penyalahgunaan bahan terlarang, selaras komitmen mengekalkan standard keselamatan dan profesionalisme serta melindungi kebajikan pekerja, penumpang dan operasi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.