KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Malaysia Airlines mula menyambung semula penerbangan dari dan ke Jakarta secara berperingkat selepas operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kembali pulih.
Syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan beberapa penerbangan kembali beroperasi mengikut jadual hari ini selepas sebelum ini terjejas akibat abu gunung berapi daripada Gunung Anak Krakatau.
Antara penerbangan yang beroperasi ialah MH717 dari Kuala Lumpur ke Jakarta, MH716 dari Jakarta ke Kuala Lumpur serta MH721 dan MH723 bagi laluan Kuala Lumpur-Jakarta.
Bagaimanapun, lima penerbangan masih dibatalkan iaitu MH713 dan MH711 dari Kuala Lumpur ke Jakarta serta MH712, MH710 dan MH726 dari Jakarta ke Kuala Lumpur.
“Berikutan situasi yang masih berubah, Malaysia Airlines memantau perkembangan dengan rapat.
“Sebarang maklumat terkini mengenai penerbangan yang terjejas akan disampaikan secara terus kepada pelanggan yang terlibat,” menurut hantaran di platform X.
Penumpang dinasihatkan mengemas kini maklumat hubungan menerusi bahagian My Booking di laman sesawang Malaysia Airlines bagi memastikan sebarang perubahan jadual diterima melalui e-mel atau SMS.
Pelanggan turut boleh menghubungi khidmat sokongan sembang langsung atau Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines untuk maklumat lanjut.





