Semua sekolah di Selangor dibuka seperti biasa esok, 2 November 

1 Nov 2026, 7:01 AM
Semua sekolah di Selangor dibuka seperti biasa esok, 2 November 

SHAH ALAM, 1 NOV: Semua sekolah di Selangor akan beroperasi seperti biasa esok, 2 November, meskipun negeri ini berdepan keadaan jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu membabitkan semua sekolah di bawah pentadbirannya.

Bagaimanapun, pihak sekolah, ibu bapa dan penjaga diminta terus mengutamakan kesihatan serta keselamatan murid dan warga sekolah susulan keadaan jerebu.

JPNS turut menyarankan semua pihak supaya sentiasa peka terhadap perkembangan kualiti udara serta mematuhi arahan dan langkah berjaga-jaga yang ditetapkan pihak berkuasa.

Murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya mereka yang sensitif terhadap keadaan jerebu.

Pada masa sama, ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap tahap kesihatan anak masing-masing dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah, namun perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Menurut JPNS, sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi jabatan dan pihak sekolah bagi memastikan orang ramai memperoleh maklumat yang sahih.

Jabatan itu turut menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan terus terpelihara.

Untuk rekod, kualiti udara di Selangor masih berada pada tahap sederhana setakat jam 8 pagi ini, dengan Johan Setia mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di negeri ini dan seluruh negara, iaitu 88.

Berdasarkan data pemantauan kualiti udara, Klang merekodkan IPU 86, diikuti Shah Alam (73), Banting (68), Petaling Jaya (65) dan Kuala Selangor (57).

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.