Anwar beri amaran, salah guna dana kerajaan akan didakwa

1 Nov 2026, 6:46 AM
Anwar beri amaran, salah guna dana kerajaan akan didakwa

HULU LANGAT, 1 NOV: Semua agensi termasuk yang menguruskan dana peniaga dan penjaja kecil diingatkan supaya menguruskan setiap peruntukan kerajaan secara amanah dan bertanggungjawab bagi mengelak ketirisan serta penyalahgunaan dana awam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap dana yang disalurkan kerajaan perlu dipantau dengan teliti bagi memastikan wang berkenaan benar-benar sampai kepada golongan sasaran dan digunakan mengikut tujuan ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan peruntukan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan usaha membantu rakyat.

“Sebab itu saya bagi amaran. Setiap dana, baik TEKUN, baik Bank Rakyat, baik Amanah Ikhtiar, jaga betul-betul. Ini wang amanah. Kamu langgar, kamu ditangkap dan didakwa. Ini baru boleh selamatkan negara kita," katanya.

Beliau berucap merasmikan penutupan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan 2026 (HPPK2026) di Dataran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Stadium Kajang, hari ini.

Anwar berkata Kerajaan ketika ini berusaha meningkatkan peruntukan untuk pelbagai sektor termasuk pendidikan dan kebajikan rakyat meskipun berdepan kekangan hasil negara.

Katanya, peningkatan peruntukan itu dapat dilaksanakan hasil usaha membendung ketirisan, mengurangkan pembaziran serta memastikan hasil negara diurus dengan lebih berkesan.

“Cukai tak naik, cukai turun. Hasil lebih kurang, tapi belanja untuk rakyat bertambah.

“Jadi ada orang nak pertikai dalam media sosial macam mana boleh cukai kurang, pendapatan negara kurang, tapi peruntukan tambah. Sebab dia tak bocor, sebab tak sakau. Sebab tak rasuah. Insya-Allah ada berkat yang kita turunkan. Itu tujuan kita.

“Sebab itu pentingnya dalam Kementerian Pendidikan. Kita didik ini ilmu, kita didik juga adab. Itu prinsipnya. Apa erti jadi pandai, jadi akauntan, jadi jurukira handal tapi kerjanya cari jalan bagaimana nak curi wang,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.