Super El Nino: Bomba Kelantan bimbang kekurangan air sukar padam kebakaran

1 Nov 2026, 2:16 AM
Super El Nino: Bomba Kelantan bimbang kekurangan air sukar padam kebakaran

KOTA BHARU, 1 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bimbang fenomena Super El Nino yang berpotensi berlarutan hingga awal tahun depan menyebabkan kekurangan sumber air, sekali gus menjejaskan operasi pemadaman kebakaran di negeri itu.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata cuaca panas dan kering dengan taburan hujan rendah bukan sahaja meningkatkan risiko kebakaran terbuka, malah boleh menjejaskan bekalan air daripada pili bomba, sumber domestik dan sumber air terbuka.

“Kalau Super El Nino masih berterusan sehingga Mac tahun depan, kebarangkalian berlakunya kebakaran terbuka adalah tinggi dan pada masa sama kita juga bimbang sumber air menjadi rendah.

“Ini kerana operasi pemadaman kebakaran masih bergantung kepada sumber air daripada pili bomba, bekalan domestik dan sumber air terbuka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena Super El Nino dijangka berterusan sehingga awal tahun depan, namun tempoh sebenar fenomena itu berakhir masih belum dapat dipastikan.

Menurutnya, kebimbangan itu turut mengambil kira corak cuaca di Kelantan yang lazimnya memasuki musim kering antara penghujung Februari hingga April selepas Monsun Timur Laut (MTL).

Beliau berkata Kelantan merekodkan 1,920 panggilan berkaitan kebakaran terbuka sepanjang Mac dan April tahun ini berbanding lebih 300 panggilan bagi tempoh sama pada 2023.

Bagaimanapun, Farhan Sufyan berkata jumlah panggilan berkaitan kebakaran terbuka kini semakin berkurangan berikutan musim hujan, dengan hanya satu atau dua kejadian dilaporkan setiap minggu.

Mengulas cabaran mendapatkan bekalan air, beliau berkata beberapa kawasan termasuk Tumpat dan Bachok berdepan kesukaran mendapatkan sumber air, terutama apabila tekanan air pili bomba rendah atau kemudahan itu tidak berfungsi sepenuhnya.

“Memang ada sesetengah kawasan pili bomba tidak berfungsi, manakala ada yang berfungsi tetapi tidak sepenuhnya. Tekanan air juga bergantung kepada keadaan dan penggunaan di kawasan berkenaan.

“Jadi, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pili bomba kerana ada kawasan yang menghadapi masalah bekalan air dan kita perlu mendapatkan sumber daripada kawasan terbuka,” katanya.

Beliau berkata JBPM Kelantan mempunyai 10 lori tangki yang boleh digerakkan bersama jentera bomba, khususnya bagi operasi memadamkan kebakaran struktur sebagai persediaan menghadapi kekangan bekalan air.

Mengimbas kejadian kebakaran di Rantau Panjang, Pasir Mas pada Julai lepas, Farhan Sufyan berkata anggota bomba terpaksa mendapatkan bekalan air dari Sungai Golok yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian berikutan kesukaran mengakses sungai yang berpagar, manakala pili bomba yang berfungsi terletak jauh dari lokasi berkenaan.

Beliau berkata penggunaan lori tangki juga mempunyai kekangan kerana perlu berulang-alik untuk mendapatkan bekalan apabila air kehabisan, sekali gus memerlukan perancangan rapi sepanjang operasi pemadaman.

“Anggota bomba akan mengawal tekanan air ketika operasi pemadaman berdasarkan keadaan dan keluasan kawasan kebakaran bagi memastikan bekalan digunakan secara berhemah, dengan keutamaan menghalang api daripada merebak ke kawasan lain,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.