ad

EXCO: Perundangan larang guna beg plastik dimuktamad hujung tahun ini

25 Sep 2025, 12:56 PM
EXCO: Perundangan larang guna beg plastik dimuktamad hujung tahun ini
EXCO: Perundangan larang guna beg plastik dimuktamad hujung tahun ini
EXCO: Perundangan larang guna beg plastik dimuktamad hujung tahun ini

PETALING JAYA, 25 SEPT: Penggubalan penguatkuasaan larangan beg plastik di semua premis dijangka dimuktamad hujung tahun ini, kata EXCO alam sekitar.

Jamaliah Jamaluddin berkata penggubalan undang-undang itu memperincikan segala aspek termasuk peraturan dan tindakan sekiranya rakyat Selangor tidak mematuhinya.

“Kita sedang menggubal perundangan bagi memastikan rakyat negeri ini dapat mematuhi larangan ditetapkan. Buat masa ini, saya dimaklumkan penggubalan telah siap dalam bahasa Melayu tetapi perlu dilengkapkan dengan bahasa Inggeris, mungkin sebulan lagi.

“Selepas itu, kita akan buat mesyuarat untuk memuktamadkan larangan tersebut… prosesnya dijangka pada penghujung tahun ini.

“Berhubung caj beg plastik, Kerajaan Negeri belum memutuskan lagi sama ada menaikkan kepada 50sen atau RM1. Kita sedang mengkaji adakah caj itu membebankan kerana populasi penduduk tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas hadir ke taklimat projek mitigasi banjir Sungai Kayu Ara dan majlis penyerahan sumbangan kepada 27 mangsa banjir merupakan penduduk Kampung Chempaka dan Kampung Sungai Ara.

Ogos lalu, Jamaliah memaklumkan Selangor akan menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik selama tiga hari dari Jumaat hingga Ahad di semua premis pada tahun depan.

Katanya, Jabatan Perundangan Selangor kini dalam fasa terakhir semakan semula undang-undang berkaitan penguatkuasaan, termasuk merangka pewartaan garis panduan baharu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.