SHAH ALAM, 5 NOV: Mana-mana individu yang teraniaya akibat pertunangan dibatal kerana pasangan enggan meneruskan perkahwinan boleh mengambil tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi.
Penolong pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata pihak berkenaan perlu membawa bukti selaras Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.
Menurut Zizul Naziha Zulkifly, tuntutan ganti rugi bawah RM100,000 boleh dibuat di mahkamah rendah syariah, manakala jumlah lebih tinggi perlu merujuk mahkamah tinggi syariah.
“Bawa semua bukti serahan duit yang diberi. Jika tidak boleh menggunakan mahkamah syariah, boleh juga bawa ke mahkamah sivil bagi kes penipuan. Undang-undang akan membela,” katanya.
Tindakan mahkamah boleh diambil jika seseorang membatalkan perkahwinan tanpa sebab sah mengikut Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Ganti rugi yang boleh dituntut meliputi semua perbelanjaan pertunangan dan persiapan perkahwinan, termasuk pemulangan mas kahwin dan sebarang hantaran yang telah diberi.
Beliau yang ditemui dalam Karnival Agensi Islam Selangor di sini, baru-baru ini berkata jenayah syariah yang kerap berlaku antaranya tidak memohon kebenaran berkahwin dan membuat akuan palsu.
Zizul Naziha juga menjelaskan kesalahan lain termasuk melafazkan cerai di luar mahkamah, gangguan pihak ketiga, menghalang pasangan suami isteri hidup bersama dan menghasut untuk bercerai.
"(Turut berlaku) menipu untuk perkahwinan dan poligami tanpa kebenaran mahkamah.
"Kalau sebelum ini jarang ada kesalahan buat akuan palsu untuk perkahwinan, ada daerah tidak pernah uruskan langsung tetapi kebelakangan ini sebulan mesti dua (atau) tiga kes,” katanya.








