MB teliti laporan kemasukan babi hidup melalui Pelabuhan Klang

20 Okt 2026, 6:48 AM
MB teliti laporan kemasukan babi hidup melalui Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri akan menyiasat dakwaan kemasukan babi hidup dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang untuk dibawa ke negeri lain sebelum menentukan tindakan susulan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya perlu menyemak terlebih dahulu laporan yang diterima bagi memastikan tujuan kemasukan ternakan itu dan pihak yang terbabit.

“Saya tengah siasat sebab bekalan itu bukan semua untuk Selangor, itu untuk negeri lain. Itu setakat report yang saya dapatkan.

“Jika negeri-negeri lain nak import, pintu masuk adalah Selangor. Saya kena siasat balik, semak balik hal tersebut dan kita akan ambil tindakan,” katanya hari ini.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran program kerjasama antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Universiti Selangor (Unisel) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) hari ini.

Sebelum ini, media sosial melaporkan sekumpulan individu yang didakwa terdiri daripada kakitangan Pelabuhan Klang dan penduduk sekitar menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan membawa masuk semula babi hidup dari Sarawak melalui pelabuhan terbabit.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut membantah cadangan itu, dengan membangkitkan risiko pencemaran alam sekitar serta sensitiviti pekerja pelabuhan beragama Islam.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai serbuan di sebuah masjid di Kampung Nakhoda dan sebuah premis di Kampung Laksmana, Gombak yang dipercayai menjadi pusat penyebaran ajaran Ahmadiah atau Qadiani, Amirudin berkata kegiatan itu bukan perkara baharu dan pemantauan oleh pihak berkaitan sentiasa dilakukan.

Katanya, beberapa serbuan pernah dijalankan sebelum ini, manakala sebahagian besar pengikut ajaran itu terdiri daripada warga asing selain terdapat juga penduduk tempatan.

“Sebahagian besar penganut adalah warga asing tetapi ada juga warga tempatan. Ajaran itu telah diisytiharkan keluar daripada Islam.

“Jadi, tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) boleh diambil mengikut peruntukan berkaitan, namun mereka tidak boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang syariah atas alasan mengamalkan ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa, khususnya di masjid dan surau, dengan kerjasama penduduk setempat.

Baru-baru ini, serbuan dijalankan di sebuah masjid di Kampung Nakhoda dan sebuah premis di Kampung Laksmana, Gombak yang dipercayai digunakan sebagai lokasi kegiatan ajaran Ahmadiah atau Qadiani.

Masjid itu dilaporkan tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mendirikan solat Jumaat, manakala premis terbabit dipercayai menjadi tempat warga asing, termasuk dari Pakistan, berkumpul bagi menyebarkan fahaman Qadiani dalam kalangan mereka.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.