AGENDA

Hospital Tanjong Karang beri peluang lebih ramai penduduk terima manfaat

10 Feb 2023, 12:52 AM
Hospital Tanjong Karang beri peluang lebih ramai penduduk terima manfaat
Hospital Tanjong Karang beri peluang lebih ramai penduduk terima manfaat

KUALA SELANGOR, 10 FEB: Pembukaan Hospital Tanjong Karang baharu di sini memberi peluang kepada lebih ramai penduduk anjung Utara negeri ini mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik.

Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin berkata penduduk khususnya keluarga berpendapatan rendah (B40) menanti kemudahan itu sejak sekian lama.

“Pengoperasian hospital ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh penduduk khususnya sekitar Tanjong Karang. Alhamdulillah awal tahun ini, ia menjadi satu realiti selepas pecah tanah pembinaan hospital dimulakan pada 2013.

[caption id="attachment_565425" align="alignleft" width="500"] Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa (tengah) dan Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin (enam, kiri) bergambar bersama perwakilan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di perkarangan pusat khidmat masyarakat Permatang, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

“Kebanyakan penduduk di sini adalah keluarga B40, jadi dengan wujudnya hospital ini akan memudahkan mereka perkhidmatan kesihatan lebih baik selepas ini,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis ramah mesra bersama Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa di pusat khidmat masyarakat Permatang di sini semalam.

Pertemuan selama sejam mereka berdua antara lain membincangkan soal masa menunggu lama di hospital, pengurusan jenazah dan suntikan vaksin.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan hospital terbabit yang beroperasi sejak Oktober tahun lepas.

Pembinaan Hospital Tanjong Karang diluluskan pada 2013 bawah Rancangan Malaysia ke-10 atas tanah seluas 16.1 hektar membabitkan kos RM269 juta.

Hospital berstatus pakar minor menyediakan 10 perkhidmatan kepakaran secara berfasa meliputi pakar perubatan kecemasan, umum, bedah umum, obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta ortopedik.

Perkhidmatan kepakaran lain seperti anestesiologi, radiologi, patologi, pergigian pediatrik dan bedah mulut selain otorinolaringologi, oftamologi, psikiatrik dan perubatan forensik.