KUALA LUMPUR, 28 OKT: Penganjuran majlis ilmu bersama dengan tokoh agama berwibawa penting dalam menyuburkan kefahaman Islam supaya dapat menerangi akal, menjernihkan hati serta membimbing amal bersandarkan tradisi akliah yang berakarkan ilmu akidah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Perdana Menteri berkata beliau menerima kunjungan tokoh dakwah dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara bersempena dengan Majlis Ilmu MADANI yang berlangsung di kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata tausiah yang disampaikan Ustaz Abdul Somad menyentuh tema perpaduan dalam jamak budaya dan agama dengan mengambil ibrah serta teladan daripada Rasulullah SAW.
"Pada bicaranya, khazanah turath menemukan bahasa kehidupan, persoalan agama menjadi hampir dengan denyut keseharian, sehingga orang ramai dapat menimba makna daripada telaga ilmu yang dalam," kata beliau dalam hantaran itu.
Anwar turut menzahirkan kesyukuran atas kehadiran penceramah itu yang disifatkan sebagai tetamu istimewa pada majlis berkenaan.
“Semoga Allah SWT memelihara hikmah Ustaz Abdul Somad dalam lapangan dakwah, mengurniakan kebijaksanaan serta menjambatani ilmunya ke muara hati insan,” kata beliau.
-- BERNAMA







