Perancis kerah 70,000 anggota keselamatan hadapi demonstrasi esok

30 Okt 2026, 2:04 AM
Perancis kerah 70,000 anggota keselamatan hadapi demonstrasi esok

GENEVA, 30 OKT: Perancis mengerahkan 70,000 anggota polis dan pegawai penguat kuasa undang-undang di seluruh negara pada Sabtu sebagai persediaan menghadapi satu lagi siri demonstrasi yang berlangsung serentak dengan sambutan Halloween, menurut Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez pada Khamis.

Operasi keselamatan itu akan dilaksanakan seperti pada 24 Oktober, dengan sekatan tambahan terhadap demonstrasi di pusat bandar, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar Perancis TF1.

Nunez memberi amaran mengenai "risiko gangguan ketenteraman awam yang sangat tinggi" pada Sabtu ini, susulan kemungkinan protes berlarutan hingga lewat malam.

Beliau merujuk kepada seruan supaya orang ramai berhimpun sekitar 8 malam (1900 GMT), dengan sebahagian daripadanya disifatkan sebagai "amat ganas", termasuk mesej yang menggesa revolusi atau pemberontakan.

"Perhimpunan ini sudah tentu akan diharamkan. Jika ia tetap diadakan, peserta akan disuraikan dan tangkapan akan dibuat," kata beliau.

Nunez berkata pihak berkuasa tempatan akan mengeluarkan larangan secara bersasar bagi menghalang demonstrasi di pusat bandar, susulan gangguan serius yang berlaku ketika protes pada 17 Oktober.

Pihak berkuasa juga akan memperketat pemeriksaan terhadap individu yang memasuki bandar serta menempatkan anggota keselamatan di seluruh negara.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kekacauan," kata Nunez sambil menambah bahawa beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan supaya bertindak dengan "ketegasan yang maksimum".

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa demonstrasi yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan akan tetap diberikan perlindungan bagi menjamin kebebasan berhimpun dan bersuara.

Protes yang dirancang pada Sabtu ini merupakan siri demonstrasi minggu ketiga berturut-turut di seluruh Perancis, selepas perhimpunan pada 17 dan 24 Oktober.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.