KUALA LUMPUR, 18 OKT: Orang ramai dinasihatkan menangguhkan perjalanan tidak penting ke Perancis susulan demonstrasi yang berlaku di beberapa bandar negara itu.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Perancis supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan perkembangan semasa.
Menurut kenyataan itu, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas atau terbabit dalam demonstrasi di beberapa bandar utama di negara itu setakat ini.
“Kedutaan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini dan memudah cara bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia jika diperlukan.
“Kementerian menggesa rakyat Malaysia yang menetap di Perancis supaya memastikan Kedutaan Besar Malaysia di Paris mempunyai maklumat perhubungan terkini mereka.
“Mereka yang belum berdaftar dengan kedutaan digalakkan berbuat demikian melalui platform e-Konsular Kementerian di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan jika berlaku kecemasan,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra memaklumkan tiada sekatan perjalanan dikenakan ke Perancis, namun orang ramai yang merancang ke negara itu digalakkan mendaftarkan butiran perjalanan melalui e-Konsular.
Mereka juga dinasihatkan supaya memantau perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Paris dan pihak berkuasa Perancis.
“Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau ketika kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Paris melalui talian +33145531185, talian kecemasan selepas waktu pejabat +33632446571 atau e-mel par.consular@kln.gov.my.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan dengan rapat dan memberikan maklumat lanjut sekiranya perlu,” menurut kenyataan itu.
Media antarabangsa melaporkan polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan terhadap penunjuk perasaan di Paris, Lyon dan Strasbourg yang membantah kenaikan kos sara hidup di seluruh Perancis.
Kementerian Dalam Negeri Perancis dilaporkan merekodkan 140 aksi bantahan di seluruh negara menjelang tengah hari, membabitkan 32,800 peserta, manakala 166 individu ditahan.
Sehingga 170,000 penunjuk perasaan dijangka berhimpun di seluruh Perancis, termasuk antara 30,000 hingga 60,000 orang di Paris.







