ad

Berang makanan 'tidak sedap', tukang masak maut ditikam pelanggan

17 Nov 2025, 2:44 AM
Berang makanan 'tidak sedap', tukang masak maut ditikam pelanggan

BUKIT MERTAJAM, 17 NOV: Seorang lelaki bertindak menikam seorang tukang masak wanita warga Myanmar selepas berlaku pertengkaran berhubung dakwaan makanan yang dihidangkan tidak sedap dalam kejadian di sebuah restoran di Lorong Bukit Juru, di sini malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa berusia 40-an maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala suami dan rakannya yang juga rakyat Myanmar mengalami kecederaan di badan.

Difahamkan kejadian itu berlaku apabila suspek warga Myanmar dan beberapa rakan senegaranya tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan di restoran masakan Thai itu.

Semua lelaki yang terlibat bertengkar dengan mangsa dan suaminya yang juga berusia 40-an sebelum wanita itu mengarahkan mereka meninggalkan premis berkenaan dengan suspek kemudian menghubungi abangnya sebelum kembali ke restoran itu serta menikam mangsa dengan pisau sehingga mati.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya menahan tiga lelaki Myanmar termasuk suspek dan abangnya bagi membantu siasatan.

“Suspek dipercayai mabuk ketika kejadian dan siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang cedera turut dirawat di hospital berkenaan.