1,588 rakyat Malaysia ditahan kes dadah di luar negara

29 Okt 2026, 4:54 AM
1,588 rakyat Malaysia ditahan kes dadah di luar negara

SHAH ALAM, 29 OCT: Jumlah rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara atas kesalahan berkaitan dadah terus meningkat apabila 1,588 individu direkodkan setakat September tahun ini.

Angka itu meningkat sebanyak 285 orang berbanding 1,303 tahanan pada 2025, manakala 1,181 rakyat Malaysia direkodkan ditahan atas kesalahan sama pada 2024.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan 3,322 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara setakat September.

Menurutnya, lima negara merekodkan jumlah tahanan rakyat Malaysia tertinggi iaitu Indonesia membabitkan 381 orang, diikuti China (380), Singapura (310), Thailand (102) dan Jepun (72).

"Seramai 1,181 rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan dadah pada 2024, diikuti 1,303 orang pada 2025.

"Terdapat peningkatan sebanyak 285 pada tahun ini yang menjadikan jumlah tahanan kepada 1,588 orang," katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai jumlah rakyat Malaysia yang ditahan atau didakwa atas kesalahan berkaitan dadah di luar negara dalam tempoh lima tahun.

Menurut beliau, rakyat Malaysia kini berada di 50 negara, dengan 40 daripadanya pernah merekodkan penahanan rakyat negara ini atas kesalahan berkaitan dadah.

Lukanisman berkata, modus operandi penyeludupan dadah ke negara lain juga semakin canggih, sekali gus menjadi antara faktor kes tangkapan terus dilaporkan.

"Pada masa sama, beberapa negara jiran dan negara lain yang mencatatkan statistik tinggi penahanan rakyat Malaysia dalam kes dadah turut memperketat penguatkuasaan masing-masing.

"Sehubungan itu, Malaysia berusaha menjelaskan keadaan sebenar dan memastikan tindakan penguatkuasaan negara dalam menangani masalah dadah terus diperkukuh, selain mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata Malaysia turut akan memanfaatkan platform ASEAN menerusi pendekatan pelbagai hala bagi memperkukuh perbincangan mengenai isu berkenaan serta mengemukakan nota berkaitan dalam persidangan pelbagai hala pada masa akan datang.

Mengulas tahap keselamatan di pintu masuk dan keluar negara, Lukanisman berkata langkah sewajarnya sudah dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi agensi penguatkuasaan berkaitan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.