Juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta, reman lanjut 30 hari

3 Okt 2026, 7:20 AM
Juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta, reman lanjut 30 hari
Juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta, reman lanjut 30 hari

SHAH ALAM, 3 OKT: Juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta berhubung siasatan penyeludupan dadah kekal dalam tahanan selepas pihak berkuasa Indonesia melanjutkan tempoh penahanannya melebihi tempoh asal 60 hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan berkata perkembangan terkini itu dimaklumkan kepada polis Malaysia oleh Direktorat Jenayah Narkotik Polis Indonesia.

“Pihak polis (Malaysia) dimaklumkan oleh pihak berkuasa narkotik Indonesia. Kes ini masih dalam peringkat siasatan dan penilaian.

“Mereka melanjutkan tempoh reman (juruterbang) berkenaan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Menurut Hussein, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan suspek sudah menjalani tempoh tahanan awal selama 60 hari sebelum dikenakan perintah mahkamah untuk ditahan 30 hari lagi.

“Tempoh ini boleh dilanjutkan selama 30 hari lagi,” katanya, memetik maklumat terkini daripada pihak berkuasa Indonesia.

Beliau berkata seorang lagi juruterbang dan enam individu lain yang ditahan di Malaysia kerana mempunyai kaitan dengan sindiket dadah itu dikenakan perintah tahanan selama 60 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Perkembangan itu menyusuli siasatan pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia berhubung dakwaan pembabitan kakitangan syarikat penerbangan Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Kes berkenaan mendapat perhatian susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada Julai lalu.

Pihak berkuasa Indonesia ketika itu merampas 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul yang disyaki berisi pil ekstasi dan methamphetamine dengan berat keseluruhan kira-kira 25 kilogram (kg).

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.