SHAH ALAM, 29 OKT: Lebih 70 keluarga murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Kali, Hulu Selangor menerima bantuan tambang bas sekolah dianggarkan berjumlah RM21,000 tahun ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao berkata bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban kos pengangkutan anak-anak ke sekolah, sekali gus memastikan pendidikan mereka tidak terjejas akibat kekangan kewangan.
"Bantuan ini merupakan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meringankan beban kewangan ibu bapa, agar anak-anak dapat terus ke sekolah tanpa kekangan kos pengangkutan.
"Semoga bantuan ini dapat membawa sedikit kelegaan kepada keluarga yang memerlukan," ujarnya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah dan guru yang membantu murid serta ibu bapa mengemukakan permohonan bantuan berkenaan.
"Terima kasih kepada pihak sekolah dan cikgu-cikgu yang tidak jemu bantu murid-murid serta ibu bapa membuat permohonan bantuan ini," katanya.
Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM1.035 juta bagi Subsidi Tambang Bas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk membantu pelajar daripada keluarga B40 tahun ini.
Bantuan itu memanfaatkan 3,452 pelajar, dengan setiap penerima memperoleh RM300 setahun.







