Lelaki warga asing ditahan tumbuk polis bantuan, rosakkan peralatan kasino di Genting Highlands

28 Okt 2026, 3:23 PM
Lelaki warga asing ditahan tumbuk polis bantuan, rosakkan peralatan kasino di Genting Highlands

KUANTAN, 28 OKT: Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki mencederakan anggota polis bantuan dan merosakkan peralatan kasino di Sky Casino, Genting Highlands, Bentong kira-kira 5 pagi, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong DSP Azmi Mahmod berkata hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 34 tahun disyaki berada di bawah pengaruh alkohol, dipercayai bertindak agresif terhadap orang awam sebelum memasuki kawasan kasino berkenaan.

“Suspek kemudiannya telah merosakkan tiga skrin mesin judi dengan menghentakkan kepalanya ke arah mesin tersebut serta merosakkan dua kerusi yang dianggarkan bernilai RM85,000. Lelaki itu turut mengalami kecederaan di bahagian dahi dan telah menerima enam jahitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata suspek turut bertindak agresif dengan menumbuk mulut polis bantuan Genting Highlands berusia 32 tahun sehingga menyebabkan dua batang giginya patah, dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Bentong.

Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing menunjukkan suspek negatif dadah.

“Pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk merakam keterangan saksi, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.