Hubungan antara institusi diraja dan rakyat bukan semata-mata diikat adat serta sejarah tetapi berkembang seiring pembentukan negara melalui prinsip taat setia, kasih dan tanggungjawab bersama.
Malah, institusi tersebut turut berperanan penting sebagai suatu mekanisme semak dan imbang kepada sesebuah kerajaan, sebuah entiti antara raja dan rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen.
Dalam sebarang perkara yang melibatkan kepentingan rakyat, institusi diraja boleh memberi pandangan tertentu dan ia bukan bermaksud mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

“Raja tidak mencampuri hal ehwal pentadbiran tetapi boleh memberi pandangan apabila diperlukan. Hubungan antara rakyat dan raja juga suatu bentuk semak dan imbang kepada kerajaan.
“Jika ada keperluan menegur, ia perlu dilakukan dengan tertib dan adab,” kata Prof Emeritus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dato’ Dr Noor Aziah Mohd Awal.
Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel Dialog Ummah 2.0 Memperkukuhkan Institusi Diraja Mensejahterakan Ummah di Bangi, Hulu Langat pada 21 Oktober.
Seramai enam ahli panel memberi pandangan dalam tiga sesi perbincangan dalam program anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan).
Sebenarnya, hubungan raja dan rakyat terjalin sejak ratusan tahun lalu, lama sebelum berkembang dalam bentuk undang-undang bertulis iaitu Perlembagaan Persekutuan, kata Yang Mulia Dato’ Penghulu Dagang Dr Faridzwan Abdul Ghafar.
Justeru, raja menjadi tempat untuk rakyat menumpang kasih dan mendapat naungan manakala rakyat membalasnya dengan menumpahkan taat setia sebagai penghormatan sejak sekian lama.
“Rakyat tidak boleh melanggar taat setia manakala raja pula perlu tahu bagaimana untuk memberi kasih kepada negeri yang dipayunginya sekali gus mencerminkan hubungan timbal balik yang berteras kesetiaan, kasih dan tanggungjawab antara kedua-dua pihak,” kata Dato’ Lembaga Lingkungan Lenggeng itu.
Justeru, kefahaman terhadap hubungan itu penting bagi memastikan institusi diraja terus dihormati dalam kerangka adat serta tradisi Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun.
Ini supaya hubungan berteras kasih, naungan dan taat setia itu terus berlanjutan dan ikatan itu kekal utuh sekali gus nilai serta adat terus diwarisi generasi baharu.
Asas bina negara
Dalam konteks pembinaan negara, institusi diraja ada sejarah nan panjang sebelum pembentukan Malaysia. Ia tidak harus dilihat dari sudut warisan sejarah sahaja.
Malah, Timbalan Pengerusi Himpunan Gerakan Islam Malaysia (Hikam), Badlishah Sham Baharin menegaskan institusi diraja memiliki kedudukan dalam struktur negara yang berkembang seiring perubahan zaman.
Peranan institusi itu dalam membina asas dan identiti negara perlu dihargai bagi memastikan kedudukannya senantiasa terpelihara dalam kehidupan bernegara.
Perkara itu dapat dihayati melalui tiga prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-Undang.
Justeru, kefahaman terhadap peranan institusi tersebut penting bagi memastikan kedudukannya terus dihormati dalam kalangan generasi muda masa kini.
“Institusi diraja telah melalui pelbagai perubahan. Generasi muda hari ini membesar dalam dunia digital, namun kita tidak boleh menganggap semua rakyat memahami sejarah, kedudukan dan peranan institusi diraja.
“Justeru, institusi ini wajar terus dihormati sebagai institusi negara yang melangkaui politik kepartian selain difahami dari sudut kedudukan dan peranannya dalam struktur negara serta kehidupan masyarakat,” kata Badlishah Sham.
Beliau juga mengingatkan masyarakat sivil memiliki tanggungjawab untuk membantu meningkatkan kefahaman rakyat mengenai institusi negara melalui perbincangan secara matang dan berhemah.
Ini penting kerana kesejahteraan Malaysia dibina berasaskan perpaduan dan kasih sayang selain kefahaman terhadap institusi diraja yang menjadi sebahagian struktur serta asas penting negara.
Demi memastikan kesinambungan peranan institusi diraja difahami dan dihormati generasi masa depan, penghayatan terhadap sejarah, adat dan budaya Melayu perlu diberi perhatian.
Seiring perubahan zaman, Badlishah Sham mengajak semua pihak untuk memelihara adat dan budaya Melayu bagi memastikan nilai berkaitan institusi diraja terus diwarisi dari generasi ke generasi.
Bagi Peguambela dan Peguamcara, Dr Zulqarnain Lukman pula, kedudukan institusi diraja dalam negara memiliki asas kukuh termasuk peranannya sebagai ketua agama Islam negeri.
Ini membuktikan institusi tersebut memiliki kedudukan tersendiri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sekali gus sebahagian sejarah dan identiti negara.
“Institusi diraja ini sudah lama wujud dan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan juga kukuh. Sebab itu, generasi muda perlu memahami sejarah dan peranan institusi ini, bukan sahaja dari sudut perlembagaan tetapi juga adat dan budaya Melayu,” katanya.
Penghayatan terhadap adat dan budaya Melayu juga dapat memastikan warisan itu terpelihara. Ini meliputi adat istiadat seperti pemakaian tanjak, tarian dan sukan tradisional perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda.
“Adat istiadat Melayu seperti pemakaian tanjak, tarian dan sukan tradisional perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda supaya mereka mengenali dan menghargai warisan,” kata Dr Zulkarnain.
Justeru, hubungan raja dan rakyat bukan sekadar antara pemerintah dan yang diperintah, sebaliknya ikatan berakar sejarah, adat, perlembagaan dan nilai taat setia.
Hubungan berteras kasih dan taat setia itu asas kepada gagasan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’, suatu cerminan keterikatan antara institusi diraja dan rakyat dalam meneruskan keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negeri serta negara.








