SHAH ALAM, 20 JAN: Suami isteri dinasihatkan menyelesaikan kemelut rumah tangga dengan merujuk pihak berkuasa yang sah berbanding mendapatkan nasihat daripada individu atau perkhidmatan dikenali sebagai ‘coach cerai’ yang boleh mengelirukan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, nasihat daripada pihak tidak berautoriti dan tidak berlandaskan perundangan serta hukum syarak bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi merosakkan institusi rumah tangga.
"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius isu 'coach cerai' yang melibatkan pasangan selebriti. Isu yang menyentuh urusan pentadbiran hal ehwal Islam khususnya perkahwinan sepatutnya dirujuk pihak autoriti dan mengikut perundangan serta hukum syarak.
"Pendekatan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti 'coach cerai' perlu dikawal bagi memastikan kefahaman masyarakat tidak tersasar hingga membawa kepada kegusaran awam.
"Jakim bersama jabatan agama Islam negeri adalah pihak berautoriti yang perlu dirujuk berhubung kekeluargaan Islam termasuk perkahwinan dan penceraian termasuk menyediakan khidmat kaunseling, runding cara keluarga berlandaskan syariah dan mencari penyelesaian adil serta seimbang," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail berhubung kewujudan perkhidmatan yang dinamakan 'coach cerai' yang akan menormalisasikan penceraian sekali gus meruntuhkan institusi kekeluargaan umat Islam.
Beliau turut menjelaskan, nasihat berautoriti daripada jabatan agama Islam bukan hanya melindungi hak suami isteri tetapi memastikan keputusan dibuat berlandaskan syariat dan manfaat jangka masa panjang.
Sebelum ini, pelakon Uqasha Senrose menggunakan perkhidmatan 'coach cerai' bagi menyelesaikan masalah perkahwinannya bersama Kamal Adli.
Isu ini turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan yang dibimbangi mengelirukan masyarakat kerana menyentuh urusan dan pentadbiran hal ehwal Islam yang sepatutnya dirujuk serta ditangani oleh pihak berkuasa sah.
Menurut Ahmad Fauwaz Fadzil Noor, perkahwinan dan perceraian orang Islam bukan isu peribadi semata-mata, sebaliknya tertakluk kepada hukum syarak serta bidang kuasa institusi agama dan mahkamah syariah.


