KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) telah menerima lebih daripada 40 permohonan untuk menubuhkan atau mengembangkan operasi pusat data di Malaysia tahun ini, mencerminkan minat pelaburan yang berterusan dalam industri infrastruktur digital negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata setiap cadangan dinilai bukan sahaja dari segi nilai pelaburannya, malah keperluan tenaga, air dan ketersambungan, serta potensi sumbangannya terhadap aspirasi ekonomi dan digital jangka panjang Malaysia.
“Apabila skala dan kepantasan pelaburan meningkat, keutamaan kita juga mesti berkembang seiring dengan industri tersebut.
“Fasa seterusnya melibatkan hasil dibawa oleh kapasiti itu: penggunaan kecerdasan buatan (AI), inovasi tempatan, bakat berkemahiran dan pekerjaan bernilai lebih tinggi,” katanya dalam ucaptama pada majlis pelancaran Data Centre Nexus (DCN) 2026 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin.
Johari berkata kerajaan telah memperkukuh peranan DCTF, dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Digital, sebagai platform penting untuk memudahkan pendekatan yang lebih bersepadu terhadap industri berkenaan.
Beliau berkata Malaysia sedang menetapkan piawaian yang jelas bagi kecekapan penggunaan tenaga dan air, malah melangkah lebih jauh berbanding banyak negara lain di rantau ini dengan menetapkan penanda aras bagi kecekapan penggunaan karbon.
“Menerusi pasukan petugas ini, Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara turut membangunkan rangka kerja serta garis panduan yang relevan bagi menyokong pembangunan mampan industri pusat data.
“Ketika industri ini terus berkembang, kami mahu melihat kapasiti baharu disokong oleh pengendali yang komited terhadap tenaga boleh baharu, kecekapan lebih tinggi dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab, serta mengguna pakai penyelesaian lebih mampan dalam operasi mereka,” katanya.
Johari berkata Malaysia meluluskan jumlah pelaburan sebanyak RM218.5 bilion merentas pelbagai sektor ekonomi pada separuh pertama 2026, iaitu hampir 12 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata sektor perkhidmatan menyumbang bahagian terbesar sebanyak RM149.6 bilion, atau 68.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala subsektor maklumat dan komunikasi, merangkumi pusat, mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM103.3 bilion.
Projek pusat data dan pengkomputeran awan menyumbang RM95.8 bilion, atau hampir 44 peratus daripada semua pelaburan diluluskan dalam tempoh tersebut, sementara kelulusan pelaburan berkaitan pusat data telah mencecah RM385.7 bilion sejak 2021, katanya.
-- BERNAMA






