Indonesia gesa jemaah umrah elak penerbangan transit di Malaysia, Singapura

27 Okt 2026, 2:28 PM
Indonesia gesa jemaah umrah elak penerbangan transit di Malaysia, Singapura

JAKARTA, 27 OKT: Kerajaan Indonesia menggesa jemaah umrah negara itu memilih penerbangan terus ke Arab Saudi tanpa transit di Malaysia atau Singapura bagi menyokong ekonomi tempatan dan meningkatkan keselamatan perjalanan.

Timbalan Menteri Haji Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata penggunaan syarikat penerbangan nasional penting dalam usaha memperkukuh kedaulatan ekonomi negara, khususnya bagi urusan ibadah umrah dan haji.

“Presiden Prabowo Subianto mahukan kedaulatan ekonomi. Perkara ini turut terpakai untuk pelaksanaan ibadah umrah dan haji.

“Penerbangan terus adalah lebih selamat dari sudut penerbangan selain dapat mengukuhkan kedaulatan ekonomi negara,” katanya seperti dipetik Sindo News, semalam.

Dahnil turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kerjasama erat dalam pengurusan ibadah umrah bagi jemaah Indonesia.

Menurutnya, kerajaan mahu memastikan semua jemaah dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan pulang ke tanah air dengan selamat.

Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, Kementerian Haji Indonesia akan terus memperkukuh kerjasama dengan persatuan Penyelenggara Perjalanan Ibadah Umrah (PPIU), syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang.

Langkah itu bertujuan memastikan perjalanan umrah berjalan lancar, selain memberi manfaat kepada jemaah serta ekonomi Indonesia.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.