MAKKAH, 4 JULAI: Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi mempergiat program kesedaran dan bimbingan di surau hotel sekitar Masjidil Haram sempena permulaan musim umrah 1448 Hijrah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Program itu bertujuan menyediakan panduan agama yang penting kepada jemaah umrah di kawasan penginapan mereka sepanjang musim cuti musim panas.
Kempen itu menawarkan syarahan dan kuliah agama dalam pelbagai bahasa selepas setiap solat fardu.
Sesi itu menerangkan hukum-hakam umrah yang betul, adab ketika mengunjungi Masjidil Haram serta memberikan jawapan secara langsung kepada pertanyaan jemaah bagi membantu mereka menunaikan ibadah dengan lebih mudah dan sempurna.
Bagi memperluas capaian serta meningkatkan kualiti perkhidmatan selaras dengan Wawasan 2030 Arab Saudi, kementerian itu turut memasang skrin elektronik di surau berkenaan bagi menyiarkan bahan pendidikan dan bimbingan secara berterusan dalam beberapa bahasa, sekali gus memastikan maklumat penting dapat diakses oleh semua pengunjung.






