SHAH ALAM, 4 MAC: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menanggung kos hampir RM1 juta bagi menjamin kebajikan dan keselamatan jemaah umrahnya susulan perubahan jadual penerbangan akibat ketegangan di Timur Tengah.
Pengarah dan penasihat undang-undangnya, Ida Riswana Idris berkata kos tambahan itu melibatkan pembelian tiket baharu ke Jeddah menggunakan Saudi Airlines selepas Malaysia Airlines membatalkan penerbangan.
“Jumlah ini juga merangkumi kos penginapan, makanan dan minuman jemaah yang terpaksa melanjutkan tempoh tinggal di sana kerana tiada jadual penerbangan balik ke sini.
“Bagaimanapun semua urusan berjalan lancar. Tiada jemaah yang membatalkan ibadah umrah mereka, semuanya mengikut jadual,” katanya kepada Media Selangor.
Ida Riswana berkata, seramai 281 jemaah yang sepatutnya pulang ke tanah air 1 Mac lalu akan diterbangkan Jumaat ini selepas syarikat penerbangan negara meneruskan operasi mulai semalam.
“Mana-mana individu yang mahu menunaikan umrah ketika Ramadan ini dinasihatkan menyemak segala urusan dengan ejen masing-masing.
“Ini dapat elakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku termasuk pembatalan saat akhir. Segala urusan di Mekah dan Madinah juga,m berjalan seperti biasa,” katanya.
Semalam, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya bersedia menghadapi kemungkinan gangguan perjalanan termasuk penutupan ruang udara dan perubahan jadual penerbangan susulan situasi keselamatan semasa di beberapa negara.
Dalam kenyataan di Facebook, Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Pada awal pagi 28 Februari lepas, Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan udara terhadap sasaran di Iran.
Iran kemudian bertindak balas menyasarkan pangkalan tentera dan kemudahan logistik Amerika Syarikat di beberapa negara Arab, menyebabkan sekatan ruang udara meluas di seluruh rantau itu.








