SHAH ALAM, 27 OKT: Hasil Kerajaan Selangor mencecah RM2.8 bilion setakat minggu lalu, dengan potensi sumber hasil baharu turut diteliti bagi memperkukuh kedudukan kewangan negeri.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkara itu antara tumpuan Mesyuarat Penyelarasan dan Penyediaan Belanjawan Selangor 2027 yang dipengerusikannya hari ini.
“Alhamdulillah, hasil negeri telah mencecah RM2.8 bilion setakat minggu lalu. Kami turut meneliti potensi sumber hasil baharu serta memastikan setiap peruntukan Kerajaan Negeri dimanfaatkan seramai mungkin rakyat Selangor.
“Kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan juga terus diberi perhatian khususnya dalam pembangunan industri semikonduktor dan pelaksanaan projek tebatan banjir yang penting untuk pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Belanjawan Selangor 2027 yang akan dibentangkan pada 13 November depan menjadi belanjawan pertama dalam pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Menurut beliau, RS-2 merangkumi enam misi utama, 25 bidang dan 98 inisiatif yang menjadi kerangka utama dalam merancang serta memacu pembangunan negeri selain menjadi panduan kepada pelaksanaan agenda pembangunan Selangor secara menyeluruh.
Amirudin turut berharap kemajuan yang dirancang menerusi Belanjawan Selangor 2027 dapat dilaksanakan dengan baik serta manfaatnya dirasai dan dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM3.23 bilion menerusi Belanjawan Selangor 2026, meningkat berbanding RM3 bilion pada tahun sebelumnya.
Bertemakan ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM1.86 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.









