ad

Kutipan hasil Selangor lepasi RM2.4 bilion, mengatasi unjuran awal

8 Nov 2025, 8:49 AM
Kutipan hasil Selangor lepasi RM2.4 bilion, mengatasi unjuran awal

SABAK BERNAM, 8 NOV: Kutipan hasil Selangor melepasi RM2.4 bilion setakat ini, mengatasi unjuran awal sebanyak RM2.35 bilion.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sektor tanah kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil negeri melalui premium dan cukai.

“Setakat ini, hasil negeri telah melepasi RM2.4 bilion, iaitu lebih 100 peratus daripada sasaran. Sektor tanah merupakan penyumbang utama hasil Kerajaan Negeri melalui premium dan cukai.

“Terdapat banyak penambahbaikan yang sedang dan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan hasil ini pada tahun-tahun mendatang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Ban Canal 2025 di Parit 14, Simpang Lima, hari ini.

Amirudin menjelaskan nilai premium tanah meningkat apabila terdapat perubahan atau peningkatan guna tanah, contohnya daripada pertanian kepada sektor industri atau dari kawasan komersial kepada kawasan perindustrian.

“Sektor pembuatan, apabila membeli tanah baharu dan sebagainya, menyumbang kepada nilai premium yang meningkatkan hasil negeri. Ini memberi nilai tambah bagi tanah yang dibeli, disewa atau digunakan untuk pembangunan,” jelasnya.

Tambah Amirudin, negeri turut menerima pelaburan besar, antaranya daripada syarikat Cherry dari China dengan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion.

“Lawatan baru-baru ini ke China menyaksikan persetujuan untuk memperluaskan pelaburan dalam sektor berkaitan kenderaan. Apabila mereka membeli, mengubah suai atau menukar guna tanah, ia secara langsung meningkatkan nilai premium kepada kita. Ini memberi impak positif kepada hasil negeri,” katanya.

Menurut beliau, bagi tahun 2024, jumlah pelaburan yang diterima Selangor melalui sektor pembuatan dan perkhidmatan mencatatkan nilai RM100 bilion.

“Walaupun tahun ini mungkin sedikit berkurangan berbanding tahun sebelumnya, Selangor kekal sebagai antara penyumbang pelaburan terbesar di negara ini,” ujarnya.