SHAH ALAM, 28 JULAI: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI terus memperkasa sektor pendidikan apabila mengagihkan bantuan komputer riba kepada 28 mahasiswa yang memerlukan dengan peruntukan kira-kira RM150,000.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu merupakan inisiatif tahunan bagi memastikan mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah mempunyai kemudahan pembelajaran yang lebih baik.
“Setiap tahun Yayasan MBI memperuntukkan kira-kira RM150,000 untuk tujuan sumbangan laptop kepada mahasiswa. Hari ini kita serahkan kepada 28 penerima.

“Kita juga ada permohonan lain daripada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kita serahkan laptop itu kepada mereka supaya boleh buat serahan bersama-sama dengan ahli dewan negeri masing-masing.
“Mereka bukan sahaja menerima laptop tetapi bekalkan Data Internet Selangor percuma selama setahun. Harapan kita mereka gunakan sumbangan sebaik mungkin bagi tujuan pembelajaran di universiti,” katanya hari ini.
Ditemui pada majlis serahan bantuan di pejabat MBI, beliau memaklumkan permohonan pembelajaran bantuan itu meningkat setiap tahun.
“Untuk tahun ini, kita terima banyak permohonan tetapi kriteria kena gaji keluarga bawah RM4,000 dan belajar di institusi pengajian tinggi awam kecuali di institusi pengajian swasta bawah Selangor.
“Kita cuba santuni sedaya upaya untuk semua yang memohon diterima asalkan memenuhi syarat ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Ishveenaa William Robert, 18, menyuarakan rasa gembira apabila menerima bantuan komputer riba selain tidak perlu meminjam rakan serumahnya lagi untuk menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

“Saya sangat gembira dapat sumbangan laptop daripada Yayasan MBi, terima kasih. Di rumah ada laptop tetapi tidak berfungsi, rosak.
“Apabila dapat laptop ini saya tidak perlu lagi pinjam rakan sebilik. Saya akan gunakan laptop ini sampai habis belajar untuk buat tugasan,” katanya.
Bagi pelajar Kolej Profesional MARA (KPM) Indera Mahkota, Siti Zulaikha Tuan Yahafez, 19, pula dengan adanya peranti itu memudahkan proses pembelajaran dalam jurusan Diploma Kreatif Digital.
“Kos saya ini memerlukan laptop terkini kerana belajar editing, 'after effect' dan lain-lain. Sebelum ini, laptop saya selalu ada masalah dan 'berat'.
“Saya sangat gembira dapat laptop dan mudahkan saya untuk belajar. Alhamdulillah dengan bantuan ini sebab memang saya berharap dapat laptop,” katanya.









