Pelepasan cukai haiwan peliharaan galak pemilik utamakan vaksinasi, pemandulan

26 Okt 2026, 10:00 AM
Pelepasan cukai haiwan peliharaan galak pemilik utamakan vaksinasi, pemandulan
Pelepasan cukai haiwan peliharaan galak pemilik utamakan vaksinasi, pemandulan
Pelepasan cukai haiwan peliharaan galak pemilik utamakan vaksinasi, pemandulan

SHAH ALAM, 26 OKT: Cadangan pelepasan cukai bagi perbelanjaan penjagaan haiwan dalam Belanjawan 2027 dilihat mampu menggalakkan pemilik mengambil langkah lebih bertanggungjawab khususnya dari aspek vaksinasi dan pemandulan.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), R. Kalaivanan berkata langkah berkenaan merupakan perkembangan positif kerana penjagaan kesihatan haiwan memerlukan komitmen kewangan yang berterusan.

“Insentif seperti ini secara tidak langsung mengiktiraf vaksinasi dan pemandulan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab pemilikan haiwan, bukannya sekadar perbelanjaan pilihan.

“Langkah ini juga boleh menggalakkan lebih ramai pemilik mengambil tindakan pencegahan terutama mereka yang sebelum ini menangguhkan rawatan haiwan kerana faktor kos,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Bagaimanapun, Kalaivanan berkata usaha menangani isu haiwan terbiar tidak boleh bergantung kepada pemilik haiwan peliharaan semata-mata, sebaliknya program pemandulan dan vaksinasi terhadap haiwan yang hidup di jalanan perlu dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, kerajaan juga wajar mempertimbangkan supaya pelepasan cukai itu meliputi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan asas, rawatan veterinar serta pemasangan mikrocip bagi memudahkan pengenalpastian haiwan peliharaan.

Dalam pada itu, Kalaivanan turut mencadangkan penubuhan Dana Kebajikan Haiwan Negara dengan peruntukan permulaan sekurang-kurangnya RM30 juta setahun bagi menyokong usaha kebajikan, rawatan serta kawalan populasi haiwan terbiar secara lebih menyeluruh.

Menurutnya, pendekatan bersepadu antara insentif kepada pemilik, program pencegahan dan sokongan berterusan terhadap haiwan terbiar penting bagi memastikan isu kebajikan serta populasi haiwan dapat ditangani dalam jangka panjang.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan pelepasan cukai pendapatan individu bagi gaya hidup merangkumi kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.

Perbelanjaan berkenaan dikongsi dalam had RM2,500 yang sama dengan pembelian bahan bacaan, komputer peribadi, telefon pintar, tablet, langganan internet serta langganan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.