SHAH ALAM, 25 OKT: Seluruh jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) di Melaka digesa memperkukuh gerak kerja di lapangan dan mendekati rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, setiap jentera perlu memahami keperluan rakyat serta menyampaikan tawaran gabungan itu dengan jelas dan berhemah.
Menurutnya, semangat perjuangan perlu diterjemahkan melalui kerja keras di setiap kawasan yang ditandingi bagi mencapai sasaran memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya berkenaan.
“Kepada seluruh jentera, perkukuh gerak kerja di lapangan, hayati denyut nadi rakyat dan sampaikan tawaran Pakatan Harapan dengan jelas serta berhemah.
“Semangat juang berkobar-kobar harus diterjemahkan kepada kerja keras di setiap kawasan yang kita tandingi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata demikian susulan kehadirannya pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya HARAPAN Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong.
Pada majlis itu, Pengerusi HARAPAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 21 calon yang akan bertanding pada PRN Melaka ke-16.
Daripada jumlah berkenaan, sembilan calon mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), tujuh daripada DAP dan lima daripada Parti Amanah Negara (AMANAH).
Amirudin berkata, HARAPAN berhasrat memenangi lebih banyak kerusi bagi membolehkan gabungan itu menerajui pentadbiran Melaka.
“Kita mahu meraih lebih banyak kerusi untuk menerajui masa hadapan Negeri Melaka.
“Pakatan Harapan hadir di Melaka dengan menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dekat dengan rakyat dan jujur membela kebajikan mereka,” katanya.







