Oleh Aliff Haiqal Mohamed
SEPANG, 11 JAN: Kampung Orang Asli Kelinsing di sini menjadi Kampung Angkat Madani pertama yang menerima kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, kementerian membelanjakan RM4.3 juta bagi melaksanakan lima projek naik taraf keperluan asas penduduk termasuk pembangunan NADI dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Penduduk Kampung Orang Asli Kelinsing beruntung kerana menjadi satu-satunya kampung angkat dibawah kementerian yang menerima kemudahan NADI.
"Penyediaan NADI bakal memberi manfaat kepada komuniti meningkatkan literasi digital dan menambah baik sosioekonomi melalui aktiviti keusahawanan dalam talian," katanya selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi di kampung tersebut hari ini.
Selain itu, Fahmi berharap kemudahan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Kelinsing, malah 15 lagi kampung Orang Asli di sekitar Sepang.
Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif perdana menteri menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan ‘Whole of Government’.
Menerusi insiatif itu, Kementerian Komunikasi telah melaksanakan proses naik taraf keperluan asas masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing meliputi pembinaan semula balai budaya, kantin, tandas awam, serta pembinaan kios perniagaan.
Proses naik taraf kesemua keperluan asas itu berjaya dilaksanakan tempoh lima bulan, bermula Ogos hingga Disember lalu.
NADI berperanan untuk meningkatkan potensi dan kesejahteraan komuniti melalui program yang holistik dan mampan untuk merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi komuniti.


