Dewan serbaguna lonjak aktiviti komuniti, Tebuk Mufrad dipilih Kampung Angkat Madani

29 Nov 2025, 10:01 AM
Dewan serbaguna lonjak aktiviti komuniti, Tebuk Mufrad dipilih Kampung Angkat Madani
Dewan serbaguna lonjak aktiviti komuniti, Tebuk Mufrad dipilih Kampung Angkat Madani
Dewan serbaguna lonjak aktiviti komuniti, Tebuk Mufrad dipilih Kampung Angkat Madani
Dewan serbaguna lonjak aktiviti komuniti, Tebuk Mufrad dipilih Kampung Angkat Madani
Dewan serbaguna lonjak aktiviti komuniti, Tebuk Mufrad dipilih Kampung Angkat Madani

SABAK BERNAM, 29 NOV: Projek pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Tengku Zafrul Aziz mula beroperasi hari ini selepas dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, sekali gus menandakan Kampung Tebuk Mufrad sebagai Kampung Angkat Madani.

Pembinaan dewan yang memakan masa tujuh bulan, siap lima bulan lebih awal daripada jadual asal, melibatkan peruntukan RM2.3 juta.

Kemudahan baharu itu berkeluasan 600 kaki persegi dan dibangunkan di atas tanah wakaf seluas 2,600 meter persegi milik Masjid Tebuk Mufrad, yang turut bertanggungjawab menguruskan operasi dewan berkenaan.

Majlis turut menyaksikan Tengku Zafrul melancarkan Buku Tebuk Mufrad: Kampung Angkat Madani MITI, selain mengumumkan penjenamaan semula dewan tersebut sebagai Dewan Serbaguna Tengku Zafrul Aziz, Kampung Tebuk Mufrad.

Sebagai gimik pelancaran lain, Tengku Zafrul menyertai perlawanan badminton persahabatan bersama jurulatih beregu wanita negara dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rosman Razak, EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail serta Ketua Setiausaha MITI Dato’ Hairil Yahri Yaacob.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berucap pada Majlis Penyerahan Dewan Tengku Zafrul Aziz Masjid Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam pada 29 November 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Dalam ucapan perasmian, Tengku Zafrul berkata pembinaan dewan di atas tanah wakaf masjid akan menjadi pusat perhimpunan, penganjuran majlis dan percambahan ilmu, selain menyediakan ruang yang kondusif bagi aktiviti masyarakat.

“Dewan tersebut dilengkapi kemudahan pelbagai sukan termasuk futsal, bola tampar, badminton, sepak takraw dan bola keranjang, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda memanfaatkan kemudahan rekreasi moden di kawasan luar bandar.

“Aspirasi utama Program Kampung Angkat Madani adalah untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta meningkatkan kualiti hidup penduduk secara holistik,” katanya.

Sementara itu, Rizam memaklumkan dewan baharu itu bakal menjadi pemangkin peningkatan taraf hidup penduduk setempat.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berucap pada Majlis Penyerahan Dewan Tengku Zafrul Aziz Masjid Kampung Tebuk Munfrad di Sabak Bernam pada 29 November 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Kemudahan ini memberi ruang kepada penganjuran program belia, latihan keusahawanan, mesyuarat komuniti, program masyarakat serta majlis kebudayaan.

“Dewan ini akan membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk. Saya berharap ia menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti dan peningkatan taraf hidup masyarakat desa secara berterusan,” ujarnya.