Sekolah seharusnya menjadi antara tempat paling selamat untuk pelajar. Namun, kerja menaik taraf tanpa kepakaran teknikal dan pematuhan piawaian boleh mewujudkan risiko kemalangan serta kecederaan.
Tanjakan terlalu curam, penghadang mudah dipanjat atau binaan tambahan tidak sesuai antara kelemahan yang mungkin kelihatan kecil tetapi mengundang padah jika aspek keselamatan diabai.
Pensyarah Kanan Jabatan Senibina dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nur Amirah Abd Samad berkata perkara itu perlu diberi perhatian terutama di sekolah lama yang melalui pelbagai kerja pengubahsuaian sejak dibina.
Kebanyakan bangunan sekolah lama menggunakan susun atur sekitar 1980-an yang pada asalnya dibina berdasarkan garis panduan dan pelan diluluskan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Masalah boleh timbul apabila penambahbaikan kemudian dilakukan tanpa mengambil kira spesifikasi pembinaan.
“Apabila sekolah melakukan penambahbaikan sendiri, kadang-kadang ia tidak mengikut piawaian pembinaan yang dibenarkan. Di situlah boleh timbul isu keselamatan,” katanya kepada Media Selangor.
Pengalaman menjalankan audit fasiliti di sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menemukan beliau dengan kemudahan yang dibina dengan niat baik tetapi tidak memenuhi fungsi sepatutnya.
Antaranya, tanjakan untuk kegunaan OKU yang terlalu curam sehingga kecerunannya hampir menyamai tangga.
“Ada tanjakan yang kecerunannya hampir sama seperti tangga, sekitar 45 darjah. Daripada sepatutnya membantu, ia sebenarnya boleh membahayakan dan menyebabkan kemalangan kepada pengguna,” katanya.
Risiko juga boleh muncul apabila struktur tambahan seperti bumbung dibina di dataran atau ruang terbuka terlalu hampir dengan koridor tanpa penilaian keselamatan menyeluruh.
Justeru, kewujudan sesuatu kemudahan sahaja tidak mencukupi. Reka bentuk, kedudukan dan kesesuaiannya perlu dinilai individu mempunyai pengetahuan teknikal sebelum kerja dilaksanakan.

Audit berkala bangunan lama
Dr Nur Amirah dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina mencadangkan audit keselamatan berkala dipertimbangkan khususnya terhadap sekolah lama bagi mengesan pengubahsuaian yang tidak menepati spesifikasi atau struktur yang semakin merosot.
Keselamatan sekolah juga bergantung kepada penyelenggaraan berterusan.
Penutup lurang reput, jubin pecah dan lantai tidak rata mungkin kelihatan seperti kerosakan kecil tetapi boleh menyebabkan kecederaan, khususnya apabila murid berlari atau bergerak dalam kumpulan.
Penghadang koridor di bangunan bertingkat juga perlu diberi perhatian. Menurut Dr Nur Amirah, penghadang rendah wajar ditinggikan sekitar satu hingga 1.2 meter bagi mengurangkan risiko murid memanjat atau terjatuh.
Menurut beliau, pemeriksaan dan pemantauan perlu meliputi keseluruhan kawasan sekolah termasuk lokasi terpencil atau jarang digunakan supaya kerja pembaikan dapat dilakukan sebelum ia menjadi lebih serius.
"Pernah berlaku kejadian murid terjatuh ke dalam lubang apabila penutup lurang sudah reput. Begitu juga dengan jubin yang pecah.
"Kadang-kadang murid berlari dan tersadung. Kecederaan bukan hanya disebabkan mereka jatuh tetapi mungkin terkena permukaan lantai yang sudah pecah atau benda lain,” ujarnya.
Cabaran menjadi lebih besar apabila sekolah lama menampung jumlah murid melebihi kapasiti asal.
Tangga dan koridor yang sesak ketika pertukaran kelas atau tamat sesi persekolahan meningkatkan risiko tergelincir dan terjatuh, terutama apabila berlaku tolak-menolak atau gurauan kasar.
Justeru, pemeriksaan tidak seharusnya tertumpu kepada bilik darjah atau kawasan utama sahaja, sebaliknya meliputi setiap sudut termasuk lokasi terpencil dan jarang digunakan.
Menurut Dr Nur Amirah lagi, cabaran keselamatan di sekolah lama turut berubah apabila jumlah murid meningkat sedangkan reka bentuk dan kapasiti asal bangunan kekal sama.
"Sekolah lama dahulu mungkin dibina untuk jumlah pelajar yang tidak ramai tetapi sekarang komuniti semakin padat dan jumlah pelajar juga bertambah.
"Satu kelas boleh mempunyai sekitar 40 murid dan ada sekolah beroperasi dua sesi. Apabila terlalu ramai bersesak di tangga, ditambah pula dengan gurauan seperti tolak-menolak, risiko tergelincir atau terjatuh memang ada," katanya lagi.









