SHAH ALAM, 23 DIS: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan zakat wakalah berjumlah RM21,000 kepada 11 penerima, merangkumi bantuan pendidikan, perubatan serta sokongan kepada mahasiswa dan atlet sukan berpotensi.
Ketua Yayasan, Mohd Azri Zainal Nor berkata, sumbangan berkenaan disalurkan kepada golongan asnaf zakat khususnya dalam kategori fisabilillah, melibatkan pelajar dan mahasiswa yang memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian.
Jelas beliau, bantuan turut diberikan kepada atlet sukan yang menunjukkan pencapaian membanggakan di peringkat negeri dan kebangsaan.
"Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan beban penerima, memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik serta memberi sokongan moral dan kewangan kepada atlet agar mereka tidak berputus asa dan terus berdaya saing dalam bidang sukan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan Yayasan MBI 2025 di Bangunan Darul Ehsan, di sini, hari ini.
Mohd Azri menambah, agihan tersebut sebahagian mekanisme zakat wakalah hasil pembayaran zakat tahunan MBI kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), yang mana 50 peratus daripada jumlah zakat yang dibayar dipulangkan semula kepada MBI untuk diagihkan secara terus kepada asnaf yang layak.
"MBI secara konsisten menunaikan kewajipan zakat dengan jumlah tahunan sekitar RM2 juta. Bermula tahun ini, separuh daripada bayaran zakat tersebut disalurkan semula kepada MBI bagi membolehkan agihan dilaksanakan secara lebih tersasar dan berimpak tinggi," jelasnya.
Menurut beliau, setiap agihan zakat wakalah ditentukan menerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan Zakat MBI, yang menilai permohonan berdasarkan keperluan, kelayakan serta impak bantuan kepada penerima.
"Setakat ini, lebih 100 penerima telah menerima manfaat zakat wakalah MBI melibatkan penerima individu, masjid serta institusi pendidikan, dengan nilai sumbangan antara RM500 hingga RM100,000, bergantung kepada kategori dan keperluan semasa.
"Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Selangor dan MBI sebagai entiti berkaitan Kerajaan Negeri yang mempunyai kewangan kukuh dalam menunaikan tanggungjawab sosial, khususnya memastikan kebajikan asnaf zakat terus terbela dan pembangunan modal insan dapat diperkasa," katanya.


