Jadual padat bukan alasan, SFC mahu sahkan tiket suku akhir Piala FA

8 Sep 2026, 5:14 AM
Jadual padat bukan alasan, SFC mahu sahkan tiket suku akhir Piala FA

SHAH ALAM, 8 SEPT: Jadual padat tidak menghalang Selangor FC (SFC) daripada memburu slot suku akhir Piala FA apabila berdepan Sabah FC dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Likas, malam esok.

Pengendalinya, Kim Pan-gon berkata kepadatan jadual menuntut pasukan mengurus kecergasan pemain dengan lebih teliti, khususnya dari aspek pemulihan sebelum perlawanan.

Katanya, komunikasi dalam pasukan juga penting bagi memastikan pemain bersedia menghadapi perlawanan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi pertama.

“Sukar untuk saya terima jadual sebegini. Demi melindungi pemain dan memberikan persembahan terbaik buat penonton, pemain sepatutnya mendapat rehat secukupnya pada masa-masa tertentu.

“Namun, inilah realiti yang perlu kita hadapi. Kita benar-benar perlu memberi tumpuan kepada proses pemulihan serta komunikasi yang baik bagi merancang perlawanan seterusnya,” katanya seperti dilapor BH Online.

Pemain Selangor FC gigih menjalani latihan pada bulan ramadan ketika tinjauan di Padang Latihan Selangor FC pada 25 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

SFC hadir dengan momentum positif apabila belum tewas dalam empat perlawanan kompetitif musim ini, termasuk mencatat tiga kemenangan dalam saingan Liga Super.

Pan-gon berkata pasukan kini memberi tumpuan untuk memastikan momentum berkenaan diteruskan dengan melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA.

“Bagi kami, amat penting untuk melangkah ke pusingan lapan terbaik Piala FA. Saya percaya momentum yang ada ketika ini mampu menjadikan kita lebih kuat dan bersatu.

“Apa jua situasi sukar yang melanda, kita mesti atasi demi penyokong kita yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.