SHAH ALAM, 3 OGOS: Terdapat lambakan barangan elektrik dan elektronik di laman e-dagang dijual tanpa mendapat kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Ketua Seksyen Pensijilan dan Pemeriksaan Elektrikal & Elektronik SIRIM QAS International, Norazlan Shah Nordin menjelaskan sepatutnya syarikat pengeluar dari luar negara perlu mempunyai wakil di Malaysia.
“Contohnya barangan itu daripada Korea, mereka kena lantik satu wakil dari Malaysia. Tujuan dia sekiranya berlaku apa-apa kemalangan jadi wakil di Malaysia perlu bertanggungjawab.
“Menjadi kebimbangan sebenarnya adalah barang-barang yang terus dari luar negara sekarang ni banyak dari China yang tidak mendapat kelulusan. Memang sukar untuk dikawal.
“Tapi walau apapun, jika tiada pensijilan SIRIM, kita boleh anggap barang-barang ini tidak selamat untuk digunakan sebab ia langsung tidak diuji di makmal kami,” katanya.
Pada November 2022, sejumlah 570 kes maut membabitkan 1,140 kemalangan elektrik direkodkan berlaku di negara ini sejak tahun 2002. Suruhanjaya Tenaga pula memaklumkan sejak Januari sehingga 22 Oktober tahun sama, sebanyak 49 kes kemalangan elektrik direkodkan melibatkan 25 kes maut.
Norazlan menjelaskan lagi, walaupun produk elektrik luar negara mempunyai kelulusan sendiri namun pengujian oleh SIRIM amat penting berikutan perbezaan suhu sekitar dan kadar arus voltan yang berbeza antara negara.
“Ujian-ujian yang kita jalankan untuk sesuatu produk itu berbeza. Ada ujian suhu, ujian kebocoran arus, ujian ketahanan bahan api dan ketahanan mekanikal.
“Pada masa sama kita uji ketahanan voltan tinggi, elak berlaku arus elektrik naik tiba-tiba. Maka produk yang dah selamat diuji diyakini selamat digunakan, itu pentingnya label SIRIM,” katanya lagi.