SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan mengutip hasil duti eksais berjumlah RM377.08 juta daripada produk vape serta cecair dan gel bernikotin sejak pelaksanaannya pada 1 Mei 2023 sehingga kini.
Kementerian Kewangan memaklumkan, berdasarkan rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), keseluruhan hasil kutipan cukai produk berkenaan sudah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.
Mengulas sama ada kutipan itu akan dikembalikan kepada pemain industri susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan pengecualian cecair dan gel nikotin daripada senarai racun, kementerian berkenaan memaklumkan pihaknya sedang meneliti secara menyeluruh implikasi perundangan keputusan tersebut.
"Keutamaan kerajaan pada masa ini tertumpu kepada penelitian menyeluruh terhadap implikasi perundangan keputusan berkenaan serta tindakan lanjut yang perlu diambil.
"Dalam masa sama, Kementerian Kewangan sedang mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai hala tuju produk vape bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat berhubung isu berkaitan percukaian," menurut jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen, lapor Harian Metro.
Ia sebagai menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang mahu tahu jumlah kutipan duti eksais cecair nikotin vape sejak 2023.
Beliau juga mahu tahu sama ada kutipan berkenaan akan dikembalikan kepada pemain industri vape susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pengecualian cecair dan gel nikotin daripada senarai racun.
Pada 15 Mei lalu, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tindakan Menteri Kesihatan dan kerajaan yang mengecualikan cecair dan gel rokok elektronik daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah tidak rasional.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pengecualian yang dimasukkan dalam Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.
Beliau dipetik berkata, keputusan mengecualikan cecair dan gel nikotin bagi rokok elektronik daripada kawalan Akta Racun dibuat lebih menjurus kepada faktor ekonomi susulan cadangan pengenaan duti eksais terhadap produk berkenaan.








