Waze dikaitkan risiko kebocoran data, terikat undang-undang Israel

22 Okt 2026, 4:32 AM
Waze dikaitkan risiko kebocoran data, terikat undang-undang Israel

CYBERJAYA, 22 OKT: Penggunaan aplikasi navigasi Waze mendatangkan risiko keselamatan tinggi kepada negara, susulan terma perkhidmatan baharu platform itu yang tertakluk di bawah undang-undang Israel.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata kajian pihaknya pada 1 Ogos, mengenal pasti potensi penyalahgunaan data lokasi serta corak pergerakan harian rakyat Malaysia oleh pihak luar.

“Bila data tersebut terikat kepada undang-undang Israel, kita perlu melaksanakan satu langkah proaktif supaya data rakyat Malaysia tidak terdedah 'especially' dalam konteks pergerakan navigasi yang digunakan rakyat Malaysia,” katanya dalam taklimat mengenai isu semasa keselamatan negara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah MKN Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Megat Zuhairy berkata lonjakan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), meningkatkan lagi risiko berkenaan sekiranya data itu jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus menjadi ancaman kepada negara.

“Kalau kita lihat trend sekarang, terutamanya kemajuan teknologi AI, data yang kita serahkan boleh diguna pakai bagi tujuan baik untuk meningkatkan efisiensi dan sebagainya.

“Tapi sekiranya data tersebut terdedah atau diperoleh penjenayah, ancamannya pada pandangan saya dengan teknologi AI sekarang amat tinggi,” katanya.

Beliau berkata pemetaan lokasi, arah perjalanan dan rutin harian penjawat awam secara terperinci menerusi aplikasi Waze berupaya dijejak oleh entiti asing, sekali gus berpotensi menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.

Meskipun larangan penggunaan Waze ketika ini hanya terpakai kepada penjawat awam, beliau menyarankan agar seluruh rakyat Malaysia turut mengambil langkah proaktif melindungi data peribadi, kerana keselamatan siber merupakan tanggungjawab bersama.

“Kalau kita berikan data kepada orang yang kita tidak percayai, termasuk dalam konteks ini dimiliki oleh negara yang kita tidak iktiraf dan mempunyai hasrat yang boleh memberi ancaman kepada negara secara keseluruhannya, saya menyarankan bahawa semua rakyat Malaysia untuk uninstall Waze dan tidak menggunakan Waze secara keseluruhannya,” katanya.

Menerusi surat edaran bertarikh 20 Oktober, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan larangan penggunaan aplikasi Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta, bagi membendung risiko kebocoran maklumat kerajaan.

Sebagai alternatif, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.