SHAH ALAM, 22 OKT: Tiga lokasi premis pengoperasian dan penyimpanan mesin Bitcoin diserbu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam operasi bersepadu di Taman Perindustrian Teknologi BB, Bestari Jaya, semalam.
Operasi itu turut membawa kepada penyitaan 390 unit mesin Bitcoin selepas premis terbabit dikesan mempunyai isu usikan meter elektrik.
MPKS dalam kenyataan di Facebook hari ini, memaklumkan operasi menerusi Jabatan Penguatkuasa itu dilaksanakan susulan aduan awam dan pemantauan anggota, dengan satu lagi lokasi membabitkan premis pemprosesan barangan kitar semula plastik yang beroperasi tanpa lesen.
Operasi bersepadu itu membabitkan 58 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan MPKS serta agensi berkaitan, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta Pengurusan Air Selangor.
Hasil operasi, tindakan penguatkuasaan diambil termasuk penutupan empat premis berkenaan, pengeluaran 11 kompaun dan 10 notis serta empat sitaan berinventori. Selain mesin Bitcoin, peralatan dan barangan lain yang berkaitan turut disita.
Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya menjalankan perniagaan tanpa lesen, meletakkan barang berkaitan perniagaan di tempat awam dan gagal memastikan premis sentiasa bersih.
Tindakan turut diambil terhadap kesalahan pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan bertulis, masing-masing mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Selain itu, agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan susulan bagi menyemak pematuhan syarat lesen perniagaan, kawalan bangunan, kebersihan premis, kebenaran merancang dan syarat nyata tanah, selain pemeriksaan meter elektrik serta bekalan air.
MPKS memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan, selain menangani aktiviti perniagaan tanpa kebenaran dalam kawasan pentadbirannya.










